Koronavirus : Kumpulan kakitangan gesa syarikat penerbangan henti terbang ke China · MYKMU.NET

Koronavirus : Kumpulan kakitangan gesa syarikat penerbangan henti terbang ke China

Share

Kumpulan kakitangan penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa syarikat-syarikat penerbangan segera menghentikan penerbangan ke China semasa penularan wabak koronavirus.

Sekretariat kumpulan itu berkata syarikat-syarikat penerbangan tidak boleh mendedahkan anak-anak kapal dan juruterbang kepada risiko wabak yang serius.

“Nyawa anak kapal dan penumpang juga harus menjadi keutamaan…kita faham wabak ini akan menjejaskan ekonomi perniagaan tetapi adakah kita ada pilihan?” katanya dalam kenyataan.

Nufam mengingatkan koronavirus merebak dengan pantas dan bimbang lebih ramai akan dijangkiti. “Kenapa syarikat-syarikat penerbangan masih berbalah mengenai masalah ini?”

Nufam berkata banyak syarikat penerbangan sudah menghentikan penerbangan ke China dan jika semua syarikat berbuat demikian, ia boleh memperlahankan penularan virus itu.

Katanya, penumpang yang membawa virus itu ada kemungkinan tinggi menjangkiti penumpang lain apabila mereka terbang bersama selama beberapa jam.

Syarikat boleh melengkapkan pesawat dengan penapis udara berzarah kecekapan tinggi (Hepa), tetapi ia menelan kos yang tinggi, katanya.

“Oleh itu, lebih murah dan berkesan untuk menghentikan penerbangan ke destinasi di China sehingga keadaan menjadi reda,” katanya.

Nufam mendakwa terdapat ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan kakitangan dan keluarga mereka tetapi mereka tidak menyampaikannya kepada syarikat.

FMT

Leave a Reply