Saintis gesa sekatan perjalanan ‘keras’ bendung virus

Kerajaan-kerajaan perlu melaksanakan sekatan perjalanan “drakonian” bagi menghentikan koronavirus misteri di China daripada menjadi wabak sejagat, kata sekumpulan pakar yang memetakan wabak itu semalam.

Sepasukan saintis di Universiti Hong Kong (HKU) membentangkan taklimat memberi amaran penyebaran virus seperti SARS yang mula muncul di bandar Wuhan itu semakin pantas.

“Kita perlu bersedia wabak ini mungkin akan menjadi wabak sejagat,” kata Gabriel Leung, ketua pasukan itu.

“Langkah-langkah yang berkesan, drakonian mengehadkan pergerakan penduduk harus dilaksanakan segera.”



Leung mengetuai sekumpulan penyelidik yang memetakan virus itu, yang setakat ini sudah menjangkiti lebih 2,700 orang di China dan membunuh 81 orang.

Walaupun pusat wabak itu masih Wuhan dan wilayah Hubei, ia sudah merebak ke bandar-bandar terbesar negara itu – termasuk Beijing, Shanghai, Chongqing, Shenzhen, dan Guangzhou.

“Kami menjangkakan pusat-pusat wabak tersendiri di kluster-kluster bandar utama lain ini di tanah besar,” kata ramalan Leung.

Memandangkan bandar-bandar itu mempunyai hubungan pengangkutan serantau dan antarabangsa, ada kemungkinan tinggi ia merebakkan virus itu apabila bandar-bandar itu ada wabak tersendiri, tambahnya.



Virus Wuhan dikesan di 12 negara lain – sejauh Amerika Syarikat dan Eropah – tetapi hanya beberapa orang daripada perjalanan dari Wuhan.

Model terbaru HKU memberi amaran bilangan jangkitan sebenar mungkin lebih tinggi daripada angka rasmi, yang hanya mengambil kira mereka yang dikesan dan didapati positif.

HKU percaya seramai 44,000 orang mungkin dijangkiti setakat Sabtu selepas kemunculan keterangan mencadangkan orang mungkin dijangkiti walaupun tidak menunjukkan simtom.

Leung berkata bilangan jangkitan mungkin berganda setiap 6 hari, memuncak pada April dan Mei bagi kawasan-kawasan yang sedang menangani wabak itu, walaupun langkah-langkah kesihatan awam berkesan boleh menurunkan kadar itu.



Kerajaan China menutup Wuhan dan bandar-bandar berjiran, memerangkap puluhan juta rakyatnya, dalam usaha membendung virus itu.

Namun beberapa pakar memberi amaran langkah-langkah itu terlewat, kerana jutaan sudah meninggalkan rantau itu sempena musim cuti Tahun Baru Cina sebelum penutupan.

Leung berkata penutupan yang dilaksanakan China itu langkah yang betul, tetapi ia “mungkin tidak boleh mengubah haluan wabak itu secara berkesan di kluster-kluster bandar utama lain.”

Pasukan HKU itu sebahagian daripada Pusat Kerjasama Epidemiologi dan Kawalan Penyakit Berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia, jaringan ahli-ahli akademi serata dunia yang membantu memantau wabak virus baru.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker