Jangan tangguh hukuman berat terhadap pemandu mabuk : Hishammuddin

Kementerian Pengangkutan digesa tidak lagi berlengah mengenakan hukuman berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

Bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, Putrajaya tidak boleh mengambil mudah perkara ini memandangkan kadar kemalangan berpunca daripada pemandu mabuk semakin kerap berlaku dan pemandu pula seolah-olah langsung tidak takut dengan kesalahan mereka.

“Saya gesa pihak berwajib terutamanya Kementerian Pengangkutan tidak lagi berlengah. Takkanlah setiap kali berlaku insiden sebegini, responnya cuma akan kaji. Hendak kaji sampai bila.

“Kelmarin, polis juga katakan hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu memandu di bawah pengaruh alkohol. Saya setuju dan mesti disegerakan. Mungkin sudah tiba masanya peraturan kadar alkohol dalam badan ketika memandu diperketatkan.

Kalau ikut Laporan Keselamatan Jalanraya 2018 dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia bukan negara yang mempunyai ‘good drinking driving laws’,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, polis mencadangkan supaya akta sedia ada dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata, cadangan pasukan berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pindaan di Parlimen.

Hishammuddin berkata, beliau bukan sengaja mencari ruang untuk menghukum pemandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya ia melibatkan soal keadilan buat mangsa terbabit.

“Ini soal keadilan, khususnya kepada mangsa apatah lagi yang kehilangan nyawa. Ini juga soal kesedaran serta keselamatan. Harap kerajaan PH tidak ambil mudah isu ini,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, undang-undang mengenai kesalahan memandu dalam keadaan mabuk akan dikaji semula dan dibangkitkan dalam kabinet minggu depan.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker