Elak Koronavirus… Utamakan Rakyat Malaysia, PH Perlu Sekat Semua Warga China

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa UMNO konsisten mahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggantungkan pengecualian visa dan ‘Visa on Arrival’ untuk semua warga China buat sementara waktu.

Katanya, bukan hanya untuk penduduk Wuhan dan Hubei sahaja sebagaimana Kerajaan PH umumkan kerana kebarangkalian wabak koronavirus sudah tersebar ke luar dari Wuhan dan Wilayah Hubei China itu ada.

“Datuk Bandar Wuhan China mengakui bahawa lima juta penduduk Wuhan telah berjaya keluar dari bandar itu sebelum sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China bermula 26 Januari 2020.

“Kita bimbang jika wabak telah tersebar luas. Ini sangat penting untuk dilakukan malah kita berkeyakinan bahawa hubungan diplomatik Malaysia-China tidak akan terjejas jika langkah ini diambil Malaysia.

“Keutamaan UMNO adalah rakyat. Oleh itu, mestilah keselamatan rakyat sendiri diutamakan melebihi daripada perkara lain. Jadi tiada makna sektor pelancongan berkembang namun rakyat menjadi korban,” katanya dalam kenyataan sebagai maklumbalas terhadap tindakan PH semalam yang hanya mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei sahaja.

Tegas Dr Shamsul Anuar, apapun akhirnya Kerajaan PH dengar apa rakyat kata walaupun belum melaksanakan sepenuhnya.

“Pimpinan PH perlu sedar zaman kerajaan lebih bijak daripada rakyat sudah berlalu kerana banyak perkara adakalanya rakyat lebih tahu daripada kerajaan. Ini kerana dunia sudah dihujung jari.

“Dalam pada itu, kita juga mengesa Kerajaan PH segera membawa pulang jika terdapat rakyat Malaysia di kawasan berisiko tinggi wabak ini di China.

“Kerajaan PH diharap bersikap positif dan berlapang dada apabila pelbagai pihak terutama rakyat mengkritik atau menegur pimpinan Kerajaan PH dalam isu ini kerana paling penting yang mereka mahu ialah Kerajaan PH mengutamakan rakyat sendiri.”

Katanya, adalah sangat tidak elok apabila ada pimpinan Kerajaan PH seperti Khalid Samad merendahkan pandangan dan kritikan rakyat.

“Rakyat berhak bersuara mempertahankan kepentingan mereka. Bagaimanapun disituasi begini pelbagai pihak diharap tidak menyebarkan perkara tidak benar mengenai wabak koronavirus,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker