Jual Ladang TH 76.2 Peratus, Pengeluaran Merosot… Menteri Haji Masih Membisu

Share

Menteri Haji masih membisu, bidas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Demikian lontaran Najib di dalam Facebook, berikutan penjualan ladang milik TH Plantations yang bersaiz 76.2 peratus dari asalnya 101,000 hektar ke 24,000 hektar dan berhubung kait dengan penurunan pengeluaran hasil.

Sebagaimana maklum, Menteri Haji adalah merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, gelaran yang dikata Mujahid diberikan oleh rakyat Kimanis kepadanya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen tersebut baru-baru ini.

Najib turut merujuk kepada kenyataan syarikat perladangan milik Tabung Haji itu yang mengumumkan pengeluaran bulan Disember 2019 mereka semalam.

“Jumlah pengeluaran mereka jatuh teruk berbanding tahun tahun yang lepas.

“Pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS): 64,201.93 tan (2018: 81,193.88 tan). Pengeluaran Minyak Sawit Mentah (CPO): 12,415.92 tan (2018: 17,401.09 tan)

“Tidak dinyatakan faktor apa yang menyumbang kepada penurunan begitu besar ini – sama ada ianya sebab kurang membaja, faktor cuaca ataupun akibat penjualan ladang-ladang mereka,” tambahnya.

Ulasnya lagi, TH Plantations memang telah selesai menjual tiga ladang sawit pada bulan Disember 2019.

“Ini merupakan tiga syarikat pertama daripada 14 anak syarikat ladang sawit milik Tabung Haji yang telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk dijual di mana jumlah saiz keluasan ladang sawit milik TH Plantations akan turun 76.2%.

“TH Plantations akan menjadi syarikat yang jauh lebih kecil berbanding sekarang,” katanya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply