Ahli ekonomi cadang Dr M jadi menteri penasihat sahaja.

Dua ahli ekonomi mencadangkan Dr Mahathir Mohamad menjadi menteri penasihat selepas berundur dari jawatan perdana menteri, mengatakan pengumuman seperti itu mungkin meredakan kebimbangan komuniti perniagaan.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata pengganti Mahathir juga akan mendapat manfaat daripada pengaruhnya, manakala Adli Amirullah dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata beberapa anggota Kabinet yang tidak berpengalaman mungkin perlukan panduannya.

Mengikut perjanjian yang dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan, Mahathir perlu menyerahkan tampuk kekuasaan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada masa yang tidak ditetapkan, tetapi beberapa kumpulan dalam gabungan pemerintah itu mahu suatu tarikh ditetapkan.

Yeah berkata ketidaktentuan mengenai peralihan kuasa meresahkan komuniti perniagaan. Beliau berkata beberapa pertubuhan ekonomi mengambil kira faktor itu dalam penilaian risikonya.

Beliau juga berkata beberapa ahli komuniti perniagaan mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan perniagaan dan pelaburan yang besar.

“Memandangkan pengalaman dan pengaruh Mahathir, wajar dipertimbangkan idea menjadikan beliau menteri penasihat sekiranya suatu peranan penasihat yang ditakrifkan dengan baik boleh diadakan dengan sokongan semua pihak dalam PH,” katanya kepada FMT.

“Secara khususnya, beliau boleh membantu pengantinya meraih sokongan awam untuk reformasi-reformasi yang lebih sukar yang negara perlu laksanakan bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Adli menggambarkan idea itu sebagai baik dari segi teori.

Beliau berpandangan beberapa menteri yang tidak berpengalaman masih bergelut dengan tugas mereka. Seorang menteri penasihat boleh menunjukkan kepada mereka bagaimana menguruskan kerja dan media, tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu mengandakan usaha memulihkan keyakinan perniagaan selain memberikan peranan baru kepada Mahathir.

“Adalah lebih penting kerajaan menunjukkan kesatuan suara dalam soal keputusan dasar,” tambahnya.

Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff akui tarikan idea itu tetapi perwatakan Mahathir mungkin tidak akan menjayakannya.

Beliau berkata Mahathir dikenali sebagai seseorang yang kuat berpegang pada pandangan sendiri, terutama dalam hal ekonomi, sosial, dan pendidikan, dan Anwar mungkin mahu menjalankan inisiatif yang berlainan dengan kemahuannya.

“Saya tidak nampak bagaimana Mahathir boleh berfungsi menteri kanan atau menteri penasihat apabila nasihat atau pandangannya tidak selaras dengan dasar-dasar pentadbiran baru,” katanya.

Kamarul juga berkata Kabinet Anwar mungkin terdiri daripada mereka yang menentang Mahathir dan oleh itu menyukarkan beliau untuk melayan Mahathir.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia mengingatkan Lee Kuan Yew merupakan menteri penasihat kepada kerajaan Singapura dari 2004 hingga 2011.

Beliau berkata Lee gagal menyuntik sebarang pengaruh ke atas Kabinet Singapura atau perdana menterinya dari segi hala tuju.

Melihat kepada pengalaman Singapura, beliau menambah, tidak ada banyak yang boleh seorang menteri penasihat lakukan kecuali memberi nasihat yang boleh diterima atau ditolak.

“Bagi Malaysia, meletakkan 2 individu yang berkuasa di atas sana akan memberi masalah dalam jangka masa panjang.”

Oh Ei Sun, seorang felo di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, idea itu tidak praktikal.

Beliau berkata perkara pokoknya bukan Mahathir tidak mahu berundur tapi beliau sama sekali tidak mahu Anwar menggantikannya.

“Sehingga perkara itu diselesaikan, dilema kepimpinan ini tiada penyelesaian,” tambahnya.

Fmt

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker