Tujuh Pemuda DAP hentam Syed Saddiq

Pemuda DAP membidas Syed Saddiq Abdul Rahman kerana menuduh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur.

Dalam satu kenyataan bersama petang ini, tujuh pemimpin Pemuda DAP berkata Ketua Pemuda Bersatu itu tidak sepatutnya memberitahu orang lain memperbetulkan diri mereka.

Ini kata mereka, selepas serbuan polis terhadap penganjuran pesta dadah di sebuah kondominum yang turut melibatkan beberapa pemimpin Pemuda Bersatu baru-baru ini.

“Tengok siapa yang bercakap mahu memperbetulkan orang lain.



“Jika ada sesiapa yang perlu membetulkan diri mereka, ia adalah Syed Saddiq. Dia patutnya membetulkan sayap parti yang dia ketuai terlebih dahulu sebelum cuba menasihati orang lain,” kata mereka.

Pemimpin-pemimpin DAP itu juga mempertahankan orang-orang yang dibidas Syed Saddiq kerana didakwa melancarkan serangan tidak berhenti-henti pada Mahathir sehingga menyukarkan perdana menteri untuk mentadbir negara.

Baca: Syed Saddiq bidas sekutu Anwar asyik serang Dr M

“Syed Saddiq perlu baca kenyataan pemimpin itu sebelum mengulas mengenai isu itu. Dia juga menuduh pemimpin-pemimpin ini mendesak Mahathir meletak jawatan.



“Majoriti pemimpin yang disebut Syed Saddiq dalam kenyataannya tidak ada menyebut bahawa Mahathir perlu meletak jawatan serta-merta. Mereka hanya menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mahu peralihan kuasa secara aman tanpa kejutan. Pemimpin-pemimpin ini tidak kata Mahathir perlu segera meletakkan jawatan. Apa yang mereka minta ialah satu tarikh ditetapkan,”kata mereka.

Menurut tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan, tarikh peralihan yang ditetapkan dengan jelas akan menghapuskan kekeliruan ramai.

“Apa yang sukar bagi Syed Saddiq untuk faham? Syed Saddiq sendiri mengakui peralihan kuasa adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden (Pakatan Harapan).



“Apa yang salah dalam meminta penjelasan dalam perkara ini? Komen mereka tidak lain hanyalah menyuarakan pendapat dan pandangan mereka, “kata tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan.

Mereka juga mendakwa Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, cuba mengalihkan perhatian daripada isu penangkapan beberapa anggota Pemuda Bersatu dalam serbuan membabitkan kes dadah baru-baru ini selain mengaitkan kenyataannya dengan pemilihan parti itu akan datang.

Antara yang ditahan dalam serbuan berkenaan ialah Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan seorang pegawai daripada kementerian Syed Saddiq.

“Oleh kerana pemilihan parti Bersatu makin hampir, kita dapat melihat kenyataan hero dari Syed Saddiq, yang sedang mempertahankan jawatannya,” kata mereka.



Mereka juga mengingatkan menteri berkenaan bahawa “orang-orang yang tinggal di rumah kaca tidak perlu membaling batu.”

Mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Setiausaha Pemuda DAP antarabangsa, Satees Muniandy, Timbalan Ketua Chiong Yoke Kong, Setiausaha Eric Teh, Pengarah Pendidikan Politik Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur Lee Wei Siang; bendahari Khoo Khim Han dan ahli jawatankuasa Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Mkini



Related Articles

One Comment

  1. Satu teguran yg berani dari syed siddiq, bagus. Terbaik, nak bagi teguran atau nasihat yg baik, tak perlu tunggu kita jadi sgt baik baru nak tegur. Klaw mcm tu habis lah semua melingkup. Teruskan anak muda. Biar kan ape org nak Kate, asal kan anda Jgn jadi seperti tunggul yg ada takper, tiada pun takper.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker