Persiapan ke negeri abadi

DARIPADA mana kita datang dan hendak ke mana arah tujuan kita. Itu adalah persoalan yang akan dijawab oleh setiap manusia merentasi bangsa, agama serta kefahaman.

Allah SWT menjadikan manusia tidak lain dan tidak bukan sebagai hamba yang memerlukan penzahiran kepada kehambaan, manakala dunia ini hanya satu persinggahan sebelum kita berpindah ke kehidupan abadi kelak.

Kematian adalah satu misteri. Tiada siapa yang mengetahui tarikh serta waktu secara tepat kematian mereka dan hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui dan semua yang bernyawa pasti akan merasai mati.

Tatkala kematian itu menjemput, ia tidak akan lambat walau sesaat, tidak juga dipercepatkan sesaat dan kematian itu adalah pemutus kepada nikmat dunia maka seseorang itu akan berpindah kepada negeri abadi iaitu akhirat.

Kematian itu akan menanggalkan keseluruhan nikmat seseorang. Maka, tidak bergunalah pada seseorang hamba itu akan darjatnya, pangkatnya, kekayaannya, hartanya, wang ringgit, keluarga malah isteri, sebaliknya yang hanya menemani adalah amal perbuatannya.

Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Anas bin Malik RA bermaksud: “Rasulullah SAW bersabda, ada tiga perkara yang akan menghantarkan jenazah ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua di antaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal bersamanya. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amal akan tetap setia bersamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini adalah kesudahan yang pasti untuk kita semua bahawa saat kematian berkenaan pasti menjelma manakala tinggallah semua kecintaan kita seperti isteri dan anak termasuk kaum keluarga semua.

Isteri, anak dan kaum keluarga hanya menemani di tanah perkuburan, sebaik talkin dan tahlil dinoktahkan, maka berlalulah mereka dan yang tinggal terbujur kaku dalam keadaan perbaringan menanti soal bicara kubur.

Begitu juga keadaan harta yang dimiliki, selepas berpenat-lelah seseorang itu mengumpul harta, suatu hari dia pasti akan meninggalkannya dan ia akan diwarisi oleh isteri serta anak yang ditinggalkan.

Ia jelas memberi peringatan buat penulis serta pembaca yang dirahmati Allah SWT bahawa nikmat dunia ini hanya sementara dan semua makhluk Allah bernama manusia ini akan berpindah ke negeri abadi dan sesungguhnya bahawa akhirat adalah sebenar-benar kehidupan.

Bagaimanapun, persoalan yang harus kita fikirkan bersama adalah negeri abadi ini hanya mempunyai ‘dua negeri’ saja iaitu syurga atau neraka, Nauzubillah.

Destinasi akhir kita akan ditentukan dengan amal kebajikan yang dibawa dan jiwa yang mengenali Allah SWT.

Persoalan ini perlu dijawab oleh semua manusia menerusi amal kebajikan kita di dunia untuk dibawa bekal ke akhirat.

Misteri kematian ini hanya akan terungkai tatkala roh sudah sampai di kerongkong dan ketika itu, manusia akan melihat kesakitan sakaratul maut seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa setiap sakaratul maut itu mempunyai kesakitannya.

Apa yang ada untuk kita? Yang ada hanyalah amal kebajikan yang baik dan jiwa yang sebenar-benar mengenal Allah SWT.

Jika baik amal serta jiwa yang kenal pada Yang Maha Esa, Insya-Allah dipermudahkan oleh Allah SWT setiap urusan selepas bicara kubur.

Bagaimana jika buruk pengakhirannya?

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker