Kemenangan BN Satu Manifestasi Kepada Autonomi Sabah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (RK) Kimanis ini adalah satu manifestasi kepada autonomi UMNO Sabah yang telah diberikan dan ia telah diterjemahkan dengan sebaik-baiknya.

Jelas beliau, ia juga merupakan satu langkah pertama ke arah untuk merelevankan UMNO dalam perjalanan politik yang jauh ini.

“Saya fikir langkah pertama ini satu pengiktirafan dan bukan hanya daripada pengundi di Kimanis tetapi di seluruh Sabah itu sendiri.

“Secara khususnya juga saya ingin berterima kasih kepada Datuk Seri Anifah Aman yang telah memberikan sumbangan cukup besar kepada kemenangan BN di Kimanis ini. Ia adalah satu kesinambungan kepercayaan pengundi Kimanis kepada BN,” ujar beliau dalam sidang media malam tadi.

Zahid juga berterima kasih kepada seluruh kepimpinan ahli majlis tertinggi UMNO yang telah menjaga setiap pusat daerah mengundi dengan baik.

“Terima kasih Allah kerana kemenangan ini, terima kasih khusus juga kepada kepimpinan UMNO Sabah.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada jentera yang didatangkan dari seluruh negeri Sabah dan komponen BN juga di luar dari parti komponen termasuk PAS yang telah banyak membantu dalam kemenangan BN di Kimanis ini,” ujar beliau lagi.

Semalam calon BN Datuk Mohamad Alamin telah diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kimanis yang baru mengalahkan calon Warisan Datuk Karim Bujang. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker