Anwar dalam dilema selepas desakan pecat Zuraida, kata penganalisis

Share


Seorang penganalisis politik percaya Anwar Ibrahim kini dalam dilema selepas 9 daripada 12 ketua negeri menggesa PKR memecat Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Penganalisis berkata, peluang Anwar menjadi perdana menteri ke-8 mungkin terjejas jika Zuraida dipecat dan mengekalkan beliau dalam parti akan mendorongnya menjadi duri dalam daging.

Dua lagi penganalisis bagaimanapun percaya Anwar tiada pilihan kecuali menyingkirkan Zuraida untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden PKR.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, pemecatan Zuraida akan menimbulkan kesan buruk.

Zuraida ialah sekutu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta puaknya tidak akan membiarkan Zuraida dipecat dan pergolakan dalaman boleh menyebabkan ahli meninggalkan parti itu beramai-ramai.

“Keadaan ini agak rumit dan tidak semudah yang beberapa ketua negeri itu cuba gambarkan.”

Itu sebabnya Azmi tidak fikir Anwar akan tunduk kepada desakan memecat Zuraida atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri semua 13 mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sepanjang tahun lalu.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberikan 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya kelmarin.

Azmi berkata, Anwar memerlukan sokongan semua pihak untuk beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi, Anwar kini dalam dilema: jika tidak pecat Zuraida, beliau akan semakin berani untuk kekal menjadi duri dalam PKR, tetapi memecatnya boleh menyebabkan pemberontakan berlaku.”

Disebabkan Zuraida ialah anggota Kabinet Mahathir, pemecatannya daripada PKR boleh menyebabkan penyokong beliau dan Azmin mendesak Mahathir kekal sebagai perdana menteri.

“Anwar perlu bertindak dengan betul, jika beliau membuat keputusan salah ke atas Zuraida, beliau boleh melupakan jawatan perdana menteri.”

Bagaimanapun, James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania dan Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia percaya Anwar serta PKR akan menunjukkan kuasanya.

“Anwar tiada pilihan kecuali menunjukkan beliau mempunyai kuasa dan mampu memenangi pertarungan dalaman PKR untuk membuktikan beliau boleh memimpin,” kata Chin.

Beliau berkata, masalah PKR mungkin tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan kerana beliau percaya semua parti komponen PH tidak percaya Azmin dan Anwar sudah berdamai.

Kamarul berkata, desakan 9 ketua negeri untuk memecat Zuraida tidak mengejutkan kerana semuanya dilantik Anwar.

“Jika Zuraida dipecat, sudah tentu PKR akan minta PM menyingkirkannya sebagai menteri, tetapi ia bergantung kepada keputusan PM untuk bersetuju atau menolaknya.

“PH hanya akan terjejas jika PM mengekalkan Zuraida dalam Kabinet walaupun beliau dipecat PKR.”

Bagaimanapun, Azmin mungkin lebih lantang mengkritik Anwar dan mendorong PKR memecatnya juga.

Katanya, ada kemungkinan besar Zuraida akan dipecat, jika tidak, beliau dan puak Azmin semakin berani dalam tindakan serta pandangan mereka.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *