PKR beri 14 hari pada Zuraida jawab surat tunjuk sebab

PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memberi 14 hari kepada Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin untuk membuat penjelasan yang dipercayai berhubung ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

“Pada 2020, lembaga rayuan sudah menerima 4 kes aduan dan satu daripadanya yang dilaporkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kasim dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) adalah berkaitan Zuraida.

“Pada 17 Jan, Zuraida sudah dihantar satu surat tunjuk sebab. Bermula semalam, beliau ada 14 hari untuk memberikan penjelasan, selepas itu barulah Lembaga Disiplin akan membuat apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di ibu pejabat parti hari ini.

ADVERTISING

Sebelum ini, seorang pegawai PKR memberitahu FMT, tekanan dalam parti semakin bertambah untuk memecat Zuraida kerana didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada 8 Dis lalu.

Beliau turut mendakwa Anwar cuba meyakinkan beliau yang salah seorang lelaki dalam video seks sejenis tersebar Jun tahun lalu ialah Azmin.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Peralihan kuasa PM

Saifuddin turut memberitahu mesyuarat MPP menetapkan 6 pemimpin PKR yang dipilih perlu sebulat suara dalam isu peralihan kuasa perdana menteri ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Enam pemimpin itu ialah Anwar, Azmin, Saifuddin sendiri, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden, Tian Chua serta Dr Xavier Jayakumar.

“MPP hari ini membuat ketetapan bahawa semua wakil PKR hendaklah membawa suara yang sama, sepertimana keputusan parti, siapa calon, apa keputusan parti dan pendirian parti berkenaan tempoh transisi.

“Keputusan ini menyebut semua wakil parti yang duduk dalam Majlis Presiden PH perlu bercakap sesuai dengan keputusan dan ketetapan parti, tidak boleh bawa pandangan peribadi kerana yang mengikat pandangan kita adalah keputusan parti.”

Pada 14 Jan lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau sedia melepaskan jawatannya pada bila-bila masa atas permintaan Majlis Presiden PH.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa ahli Parlimen PKR mencadangkan Mahathir menyerahkan kuasanya kepada Anwar pada Mei nanti.

Susulan itu, Anwar dilaporkan berkata, beliau mahu peralihan kuasa daripada Mahathir kepadanya dilakukan secara aman atas “kerelaan perdana menteri sendiri”.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker