#PRK Kimanis: Kami Sudah Bersedia… Calon Nombor Satu Pilihan Kami – Pengundi

Share

Esok adalah hari pengundian di Pilihan Raya Kecil Kimanis dengan pengundi akan memilih siapa yang mereka mahu sebagai Ahli Parlimen mereka.

PRK Kimanis yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan ternyata bersaing hebat untuk memenangi hati pengundi.

Namun, tinjauan UMNO-Online mendapati ramai yang mahu ‘ubah balik’ kerana mereka kecewa dengan pentadbiran Warisan apatah lagi apabila Warisan mahu melaksanakan Pas Sementera Sabah (PSS) yang mendapat tentangan hebat dari rakyat.

Bagi Yahya Osman, 61, yang bakal membuang undi di SMK Bongawan, beliau sudah tidak sabar untuk mengundi dan memastikan calon BN menang pada PRK ini.

“Kami sudah bersedia mengundi dan akan mengundi calon nombor satu. Kami tidak mahu mengundi Warisan sebab Karim Bujang ada cacatnya di sini. Dari zaman dulu tidak buat apapun,” ujar beliau.

Mohd Azirul Azwan Abdul Ghani, 27, juga telah bersedia untuk mengundi calon BN.

“Saya akan pilih BN sebab Warisan tidak bawa apa-apa perubahan pun. Kami anak muda mahu perubahan tapi setakat ini tidak ada,” ujarnya.

Seorang lagi pengundi muda Mohd Azri Abd Ghani, 22, turut menyatakan akan memilih nombor satu iaitu calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

“Saya telah bersedia untuk mengundi untuk Datuk Mohamad Alamin. Saya pilih BN sebab Warisan ini ‘tangau’ sahaja dia punya kerja,” tegasnya.

Sawyiah Sikam, 63, sudah semestinya dia akan memilih calon BN kerana isu PSS.

“Saya tidak mahu PSS dilaksanakan di Sabah. Saya tidak mahu rosakkan masa depan cucu-cucu saya jadi saya akan tolak Warisan.

“Saya mahu Warisan sedar bahawa rakyat Sabah menentang PSS,” ujarnya.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Anifah memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan. – UMNO ONLINE

Leave a Reply