Iktibar Perang Uhud

Share


oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Apabila berkunjung ke Makkah dan Madinah sama ada untuk laksanakan haji ataupun umrah, kunjungan ke perlembahan Bukit Uhud pasti menjadi lokasi ‘wajib ziarah.’

Terasa amat rugi andainya pengunjung terlepas peluang untuk berziarah ke sana yang terletak tidak jauh dari kota Madinah al-Munawarrah.

Apa yang menariknya di sekitar Bukit Uhud itu sehingga ribuan jemaah haji dan umrah mengunjunginya?

“Pastinya, tidak lain, Bukit Uhud adalah simbol kepada siri peperangan yang dilalui Rasulullah SAW bersama sahabat baginda dahulu demi menegakkan ajaran agama Islam,” kongsi Mohd Rizal Azman Rifin tatkala menceritakan pengalamannya kepada wartawan, Muhammad Saufi Hassan, baru-baru ini.

Sebaik berakhir perang sulung dalam Islam ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu Perang Badar, masyarakat kafir Quraisy Makkah menaruh dendam untuk kembali bagi menghancurkan Islam di Madinah.

“Saya bersyukur kerana menjadi seorang daripada pengunjung yang diizinkan Allah SWT untuk menjejakkan kaki ke Bukit Uhud.

Secara tidak langsung, saya dapat merasai serba sedikit pengorbanan Nabi Muhammad SAW bersama sahabat baginda dalam memperjuangkan syiar Islam biarpun ada dalam kalangan sahabat yang syahid.

Ketika belajar di sekolah menengah dulu, saya hanya menghayati sirah Perang Uhud secara harafiah dan teks semata-mata.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati, saya mahu menginjakkan kaki di kawasan berkenaan bagi meninjau dan merasai sendiri bagaimana perit Baginda dan sahabat dalam mempertahankan kesucian Islam.

Alhamdulillah, melalui pakej umrah Jad Travel yang saya sekeluarga sertai baru-baru ini, ia memberi peluang kepada saya untuk berkunjung ke lokasi impian ini.

Sebaik kami tiba di kawasan perlembahan kaki Bukit Uhud, hati saya tiba-tiba menjadi begitu sayu tatkala mutawif Jad Travel iaitu Ustaz Badrul Hakimi memulakan kisah Perang Uhud dengan meminta jemaah membaca surah al-Fatihah untuk disedekah kepada syuhada yang syahid di medan tempur Uhud.

Selepas itu, terlintas nama Saidina Hamzah bin Abu Talib yang digelar Rasulullah sebagai ‘Assadullah’ atau ‘Singa Allah’.

Malah, beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Assadul Jannah’ atau Singa Syurga.

Namun gelaran paling popular yang sering diulang sebut oleh Rasulullah pada dirinya ialah sebagai ‘Penghulu Para Syuhada’.

Gelaran itu disebut sendiri oleh Rasulullah apabila Saidina Hamzah gugur dalam Perang Uhud itu.

Sesekali air mata tanpa disedari mengalir perlahan tatkala Badrul asyik dengan penceritaannya.

Ingatan saya nyata lebih banyak terarah kepada kisah Saidina Hamzah yang gugur syahid itu.

Selesai mutawif menceritakan secara ringkas kisah Perang Uhud, kami berkesempatan melihat persekitaran kawasan lembah kaki Bukit Uhud.

Malah, saya juga sampai ke puncak satu daripada anak bukit Jabbal Rumat yang Rasulullah tempatkan kumpulan 50 pemanah.

Dalam sejarah, dinyatakan dengan jelas bahawa 40 orang daripada kumpulan pemanah itu turut turun ke kawasan lembah bukit bagi sama-sama meraih harta tinggalan tentera musuh.

Ini bertentangan dengan apa yang diperintahkan Rasulullah sebelum tercetusnya perang supaya kumpulan itu tidak sesekali meninggalkan kawasan puncak bukit itu.

Kumpulan pemanah yang dipimpin Abdullah bin Jubair itu adalah ‘senjata rahsia’ yang digarap Rasulullah dalam usaha menggempur kekuatan pasukan musuh.

Senjata rahsia itu pada peringkat awalnya menunjukkan keberkesanan yang jitu. Bagaimanapun, akibat kecuaian dan ‘terlupa’ pada pesanan Rasulullah, tentera Islam kemudian kembali berada dalam kekalutan yang memeritkan.

Perang Uhud ini turut memberikan banyak pengajaran seperti sekuat manapun strategi yang diatur, seandainya kepatuhan ahli pasukan tidak kental, maka ia akan membawa musibah besar.

Patuh kepada pemimpin adalah pengajaran utama kepada kita apabila berada di persekitaran Bukit Uhud.

Kini, selepas lebih 1,400 tahun Perang Uhud berlalu, masyarakat Islam dari seluruh penjuru alam kembali untuk berziarah bagi mengenang kembali apa yang pernah dilalui Rasulullah bersama sahabatnya.

Kami turut tidak melepaskan peluang untuk berada di pinggiran sisi perkuburan syuhada Perang Uhud yang terletak di bawah kaki Bukit Uhud.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *