Pembelian panik vaksin influenza.

Bawa vaksin influenza yang dibeli secara dalam talian ke klinik untuk suntikan.

Itu dilakukan sesetengah ibu bapa yang panik hingga sanggup membeli daripada orang perseorangan yang mahu mengaut keuntungan mudah.

Pendedahan itu dilakukan pemilik Klinik As-Salam, Dr Azfar Hussin apabila mendapati ada pelanggannya datang membawa vaksin influenza dalam bungkusan parcel, minggu lalu.

Dr Azfar berkata, ada juga pelanggannya bertanya dengan menunjukkan gambar vaksin yang dibeli tanpa menyimpan dalam kotak ais dengan suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius.

“Ramai yang tidak tahu di Malaysia vaksin influenza mempunyai empat jenis yang dijual berdasarkan usia berbeza.

“Pelanggan yang menghubungi kami dan menunjukkan vaksin yang dibeli didapati tidak sesuai disuntik kepada anak mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan melakukan sebarang suntikan yang tak diketahui sumber dan cara penyimpanan seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebaik diselidik, kami dapati ada pihak mengambil kesempatan terutama kakitangan klinik yang membeli vaksin berkenaan tetapi menjualnya di pasaran dengan harga berlipat kali ganda.

“Malah, mereka akan menjualnya secara dalam talian dengan mendekati ibu bapa yang bertanyakan vaksin ini di media sosial melalui mesej peribadi,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa yang terdesak akan membeli vaksin berkenaan dengan harga tinggi dan meminta klinik persendirian lain melakukan tugas menyuntik.

“Ramai yang tidak faham, untuk menyuntik vaksin memerlukan konsultasi dan saranan doktor, tidak boleh sewenang-wenang melakukan pelalian.

“Kami perlu tahu sejarah, alergi dan sama ada bayi atau kanak-kanak berkenaan sudah mengambil suntikan booster atau belum,” katanya.

Dr Azfar berkata, semua vaksin perlu disimpan secara rantaian yang dinamakan cold chain.

“Daripada pengeluar sehingga sampai kepada pelanggan, kami mengekalkan suhu dua hingga lapan darjah Celsius dan tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari.

“Jika tidak, suntikan berkenaan sudah hilang sumber protein dan tidak berfungsi lagi sebagai vaksin, jika dilakukan suntikan pun hanya sia-sia,” katanya.

Beliau berkata, 2,000 individu sudah menerima suntikan vaksin dari kliniknya dalam tempoh seminggu lalu dan stok vaksin baharu belum diperoleh.

“Sebenarnya ibu bapa tidak perlu panik kerana November hingga Januari setiap tahun memang berlaku musim yang dinamakan seasonal influenza dan jumlah pesakit lebih kurang sama setiap tahun,” katanya.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker