Zikrullah adalah ubatnya

MANUSIA diciptakan oleh Allah SWT dan mempunyai satu tujuan iaitu menjadi ‘khalifah’ kepada-Nya dan manusia harus menzahirkan perhambaan kepada Yang Esa menerusi pelbagai keadaan.

Dalam seluruh tubuh manusia itu, Allah menciptakan hati untuk merasai kesedihan, gembira, takut, gementar termasuk berbangga diri dan sesungguhnya hati itu yang menjadi penguasa kepada diri jika ia tidak dikawal.

Hati manusia adalah tempat pandangan Allah dan ia juga tapak iman seterusnya menjalar ke setiap tubuh manusia.

Jika tiada latihan terhadap perhambaan kepada Tuhan, maka hati ini menjadi raja kepada manusia dan panduannya kepada beberapa perkara iaitu syahwat, nafsu dan amarah.



Pada mulanya, hati setiap insan itu adalah baik dan Allah menciptakan manusia berdasarkan fitrah semula jadi iaitu mencintai perkara yang baik serta indah dan membenci perkara yang buruk atau tidak baik.

Oleh itu, manusia yang mengikut jalan fitrah yang benar daripada petunjuk Rasulullah SAW serta berpegang teguh kepada al-Quran akan memperoleh hati yang bersih namun jika mengikut perasaan hawa nafsu yang dihasut iblis, hati yang putih bersih itu dicemari tompok hitam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya seseorang hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan maka akan digoreskan di dalam hatinya satu titik hitam. Maka, apabila ia berhenti (daripada kemaksiatan itu) dan terus beristighfar dan bertaubat (kepada Allah) maka hatinya akan kembali suci bersih.

‘Tetapi apabila dia kembali melakukan kesalahan, maka titik hitam itu akan bertambah (dalam hatinya) sehingga memenuhi setiap sudut hatinya. Inilah yang dinamakan ‘Ar-Raan’ atau karat dalam hati yang disebut Allah dalam firman-Nya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)



Hati yang sudah sakit akan mengalami kesukaran untuk diubati jika manusia itu sentiasa lalai dalam kehidupannya dan terus menerus melupakan Allah.

Apabila kita membiarkan berlanjutan, kotoran yang mencemari diri akan mengotori fitrah sebenar manusia dan lama-kelamaan kita semakin jauh untuk mengenali Allah dan semakin besar kotoran itu merajai hati kita.

Tatkala hati sudah ditawan iblis, maka hati akan kurang membenci kemaksiatan sebaliknya semakin rindu perbuatan maksiat manakala semakin malas untuk melakukan ibadat dan tambah kronik jika seseorang itu melakukan kemaksiatan tanpa rasa bersalah biar sekecil zarah dalam dirinya.

Jika manusia sudah sampai ke tahap ini, ia menunjukkan bahawa hatinya sudah terlalu sakit dan tiada lagi lembaran putih pada dirinya sebaliknya jika dia menyedari kesilapan yang dilakukan, sesungguhnya Allah maha Merenung firman Allah yang bermaksud: “Pada hari itu (kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah Asy-Syu’ara’ ayat 88-89)



Oleh itu, mari sama-sama kita renungkan di tahap mana hati kita berada. Adakah masih kosong tanpa merasakan apa-apa tatkala melakukan maksiat dan jika itu berlaku masih tidak terlambat untuk mengubatinya dengan bertaubat serta sentiasa zikrullah.

Sesungguhnya, hati manusia itu adalah pandangan Allah dan hati yang bersih akan memudahkan urusan manusia di akhirat kelak. Wallahualam.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker