PKR kecewa kenyataan KPN berkait tuduhan serangan seksual Anwar

Share

PKR kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini yang memberi bayangan Anwar Ibrahim pernah melakukan serangan seksual ke atas bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan kenyataan Hamid yang didakwanya bersifat “afirmatif” seolah-olah Anwar pernah melakukan perbuatan itu.

“Kenyataan (Hamid berbunyi) kejadian itu berlaku lama dahulu, 1 hingga 2 tahun, jadi pihak polis sukar mengumpul bukti dan juga ‘corroborative evidence’.


“Sepatutnya ketua polis negara dapat mengawal diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh dibaca sebagai memberi konotasi tidak elok kepada individu terlibat.

“Kenyataan itu sepatutnya tidak datang dari ketua polis negara yang sepatutnya lebih cermat dalam membuat kenyataan terhadap perkara yang telah diputuskan untuk tidak diteruskan proses pendakwaan oleh peguam negara.”

Katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna pada sidang media pengumuman Skim Kawalan Harga Maksimum Barang sempena Tahun Baru Cina di kementeriannya hari ini.


Terdahulu, Hamid dalam sidang media hari ini dilaporkan berkata, bukti fizikal diperlukan untuk meneruskan kes tuduhan serangan seksual terhadap Anwar selepas Jabatan Peguam Negara menutup kes itu semalam.

Beliau berkata, sukar untuk polis mendapatkan bukti fizikal dan sokongan bagi kes itu kerana ia sudah lama berlaku.

Semalam, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata, timbalan pendakwa raya mendapati wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau seksyen lain di bawah kanun sama.


“Kami juga mendapati tidak cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya.

FMT

Leave a Reply