Memalukan… ‘Tahniah’ Kerajaan PH Kerana Malaysia Semakin Ketinggalan – Dr Najmil

Share

Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang begitu bangga dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2019 dan dijangka berkembang lebih pesat pada tahun ini adalah satu pencapaian yang tidak membanggakan.

Malah bidasnya, ia memalukan kerana pada tahun 2017, prestasi ekonomi negara berkembang pesat dengan 5.8 peratus dan jumlah pelaburan bernilai RM366 bilion dalam tempoh tujuh bulan dari November 2016 hingga Mei 2017.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya menumpukan kepada pembangunan ekonomi negara bukannya dengan masalah politik dalaman sehingga merosakkan ekonomi negara kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan persekitaran ekonomi yang kondusif.

“Alasan kerajaan PH yang sering menyalahkan pentadbiran lepas kerana kegagalan setiap dasar dapat disangkal berdasarkan pencapaian lepas kerajaan BN yang terbukti berjaya memacu ekonomi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya juga, kerajaan PH sepatutnya berasa malu kerana Indonesia telah jauh meninggalkan negara dalam pembangunan ekonomi di mana baru-baru ini Indonesia memeterai sebelas perjanjian perniagaan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai RM 93.5 bilion.

“Kita juga ketinggalan dalam konteks pertumbuhan KDNK dengan negara-negara ASEAN seperti Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dan Filipina sebanyak 6.2 peratus bagi tahun 2019.

“Apa yang pasti ialah rakyat akhirnya sedar bahawa kerajaan PH adalah gagal dalam mentadbir negara dan segala tohmahan yang dilemparkan pada BN terbukti adalah fitnah,” tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply