Kes aduan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim tutup

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek mengumumkan kes aduan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim berkaitan laporan polis Muhammed Yusoff Rawther ditutup.

Engku Nor Faizah, yang mengawasi pasukan timbalan pendakwa raya bagi kes berkenaan, menyatakan 2 sebab untuk menutup kes itu, setelah mengkaji “secara berhati-hati” semua keterangan yang diperoleh dalam kertas siasatan polis.

“Kami mendapati terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain bawah kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Engku Nor Faizah berkata pihaknya bersetuju dengan saranan polis supaya kes itu ditutup.

“Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan akan dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru,” katanya.

Engku Nor Faizah juga memaklumkan Peguam Negara Tommy Thomas menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes ini dan tidak terlibat dalam apa-apa pertimbangan mengenai kes itu disebabkan hubungannya dengan Anwar.

Laporan polis Yusoff terhadap Anwar pada awal Disember membawa kepada siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Anwar menafikan dakwaan-dakwaan itu, dan polis sudah merakam keterangan daripada mereka.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker