#PrkKimanis : Shafie patut salahkan diri sendiri bukan Tun Razak, Ghafar

Terkini di My KMU !!!!---->

Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal tidak sepatutnya mengaitkan Allahyarham Abdul Razak Hussein dan Ghafar Baba bagi menutup kegagalannya membangunkan negeri itu sebelum ini.

Sebaliknya kata bekas presiden Umno itu, Shafie harus meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri kerana peruntukan yang besar telah diberikan sewaktu beliau memegang jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

“Dia tak boleh salahkan orang lain, waktu dia jadi menteri luar bandar diluluskan satu peruntukan yang besar, saya dimaklumkan lebih kurang RM35 bilion telah diletakkan sepanjang tempoh jadi menteri luar bandar.

“Apa alasan dia bila projek lebuharaya Pan Borneo terbengkalai hari ini, itu diluluskan kerajaan perekutuan untuk rakyat Sabah, sepatutnya Pan Borneo sudah siap hari ini kalau BN berkuasa

“Projek-projek seperti naik taraf sekolah daif RM1bilion yang saya dah luluskan untuk Sabah, apa kedudukan projek ini,” katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kimanis, malam tadi.

Untuk rekod, Naib Presiden Warisan, Peter Anthony baru-baru ini berkata pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo masih rancak dijalankan, dan dakwaan BN kononnya projek tersebut diberhentikan adalah satu pembohongan.

Sebelum ini ketika berkempen di Kimanis, Shafie mendakwa jika beliau dikatakan gagal membangunkan Sabah, dua bekas menteri luar Razak dan Ghafar juga turut gagal berbuat demikian.

Shafie berkata demikian sebagai menjawab dakwaan BN bahawa beliau gagal membangunkan negeri itu ketika menjadi menteri kabinet.

Ia susulan kenyataan Shafie yang mendakwa BN gagal membangunkan Sabah sejak puluhan tahun lalu ketika berkuasa.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Dalam pada itu Najib berkata, BN melalui kepimpinannya adalah pihak yang pertama berusaha mengembalikan hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beberapa langkah drastik telah diambil kepimpinanya ketika itu sebagai usaha ke arah mengembalikan hak Sabah.

“Kita buat cara administratif, cara pertamanya guru-guru, lebih 90 peratus guru di Sabah adalah anak Sabah. Apa yang boleh dibuat buat secara pentadbiran kita buat cara pentadbiran, dari segi perundangan ambil masa sikit,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengulas dakwaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bahawa pas sementara Sabah (PSS) adalah cadangan BN.

Najib berkata BN tidak pernah berhasrat melaksanakan PSS meskipun ia dibangkitkan, tetapi kerajaan BN menolak cadangan tersebut.

“Tidak, sebab walaupun ada cadangan berbangkit setelah dibuat suruhanjaya siasatan diraja (RC), tetapi cadangan itu tidak dilaksanakan, tidak diterima BN.

“Di mana kita tiada ada niat nak laksana PSS, tapi Warisan dan PH menyatakan ini hasrat mereka,” katanya.

Mkini

Leave a Reply