G25 promosi pemikiran sesat, mengelirukan, kata pemimpin PAS

Seorang pemimpin PAS membidas kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 kerana mengkritik undang-undang murtad dan menuduh mereka cuba merosakkan akidah walaupun mempunyai ahli yang mengaku sebagai orang Islam.

Ahli Majlis Syura PAS Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, pendirian G25 menolak hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang Islam menunjukkan mereka “sesat dan tersasar”.

“Sebaran pemikiran mereka juga bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

“Ia juga bercanggah dengan undang-undang negeri-negeri dalam Malaysia yang memperuntukkan hak dan kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman dunia terhadap pesalah-pesalah agama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, G25 berkata, pelbagai undang-undang di bawah kerajaan negeri yang menghukum individu murtad sama ada melalui denda, penjara atau pemulihan adalah tidak konsisten dengan perlembagaan persekutuan, yang menjamin kebebasan beragama.

Ia juga berkata, dari perspektif Islam, tiada sesiapa yang boleh dipaksa untuk mempercayai Tuhan dan terus memeluk agama Islam, walaupun menambah bahawa perbuatan meninggalkan agama itu adalah “sesuatu yang dikesali”.

“Namun jika dia terus meninggalkan Islam, itu adalah antara dia dan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang disediakan dalam Quran,” katanya dalam satu laporan bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”.

Khairuddin, yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, menghukum mereka yang melanggar undang-undang Islam adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kerajaan, termasuk untuk kesalahan seperti seks di luar perkahwinan, minum arak serta jenayah seperti membunuh dan mencuri.

Beliau juga mendakwa G25 cuba membuang agama daripada kehidupan manusia dan pengurusan negara, selain merupakan pemikiran yang sesat dan bahaya bagi umat Islam.

Beliau berkata, pandangan itu juga bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan undang-undang negeri.

“Kerajaan persekutuan dan juga negeri di mana pemikiran mereka disebar dan diwacanakan perlu segera bertindak terhadap kumpulan ini yang dilihat semakin berani mempromosi pemikiran songsang mereka,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker