Nak Salahkan BN… Nampak Sangat Warisan Pening Isu PSS – Rahman

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjelaskan Warisan sekarang ini sudah pening untuk mempertahankan isu Pas Sementara Sabah (PSS).

Jelas beliau, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal serta menteri Warisan terutamanya Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Wira Warisan Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman terpaksa menuduh kononnya Barisan Nasional (BN) yang mencadangkan PSS.

“Setelah Warisan mengambil alih kerajaan ikut pintu belakang, barulah PSS ini dijadikan dasar. Satu Sabah terkejut, jadi terimalah hakikat bahawa Warisanlah yang bertanggungjawab bukan BN.

“Rakyat Sabah tidak pernah mendengar kerajaan BN mengumumkan kepada orang ramai bahawa BN akan memperkenalkan PSS ini.

“Bukan BN yang umum PSS untuk dijadikan dasar kerajaan, senang saja … buktikan pengumuman BN mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Rahman lagi, kalau setakat hanya perbincangan atau keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa tapi belum menjadi dasar… itu bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Perbincangan dalam mesyuarat jawatankuasa selalunya bersifat bebas (free flow discussions). Yang bakal memuktamadkan keputusan mesyuarat jawatankuasa untuk menjadi dasar rasmi ialah kerajaan bukan jawatankuasa tersebut.

“Yang mengumumkan ialah Parti Warisan dan Kementerian Datuk Azis sendiri. Pengundi Kimanis dan rakyat Sabah berhak untuk menghukum Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kerana menjadikan PSS sebagai dasar rasmi kerajaan mereka,” ujarnya.

Tegasnya, pengundi Kimanis bukan bodoh malah mereka akan tolak parti Warisan dalam PRK Kimanis yang dilihat mengutamakan dasar mesra Pendatang Tanpa Izin (PTI) ini.

Terdahulu, dilaporkan Mohd Aziz memberitahu bahawa kerajaan negeri Sabah pimpinan Warisan hanya meneruskan cadangan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu iaitu BN berkaitan pengurusan warga asing di negeri itu.

PSS dijadual akan mula dilaksanakan pada Jun ini oleh kerajaan negeri Sabah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker