Dedah bahan bukti? SPRM telah menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang – Peguam Haniff Khatri

Share

Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla hari ini membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM kerana mendedahkan secara salah rakaman audio perbualan yang di dakwa membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama beberapa figura lain.
Menurut Tuan Haniff Khatri tindakan itu adalah menyalahi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law).

“Rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguatkuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) ini agar segenap lapisan masyarakat lain seperti para pemimpin politik, pihak korporat, pengamal profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu” ujar Haniff Khatri dalam satu kenyataan media.

“Namun, malangnya pada hari Rabu, 08.01.2020, melalui satu Sidang Akhbar yang disiarkan melalui Video berdurasi 1 jam 13 minit dan 16 saat, dengan penuh dukacita saya nyatakan di sini, bahawa pihak SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya telah mendedahkan kepada awam secara salah akan butiran perkara dan bahan siasatan baru (segar) secara menyalahi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law)”, katanya.

Tegas beliau, mengikut undang-undang, mana-mana bahan bukti yang belum atau sedang disiasat tidak boleh sama sekali didedahkan kepada umum oleh mana-mana agensi peguatkuasa undang-undang termasuk SPRM.

“Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak Polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan, kerana ianya boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai”, katanya.
“Secara penuh hormat kepada Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya dan pegawai-pegawai SPRM lain, dan dengan penuh kekesalan dan kesedihan, saya nyatakan bahawa tindakan pendedahan kandungan 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ kepada orang awam pada 08.01.2020 adalah kemungkiran prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) yang sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali”, katanya.
Sebaliknya, ujar beliau, Latheefa Koya sepatutnya mengarahkan pegawai SPRM yang menerima bukti penting berkenaan dengan segera membuat laporan polis dan menyerahkan semua bahan bukti berkenaan kepada agensi terbabit untuk siasatan lanjut.

“Sebaiknya, jika seperti apa yang dikatakan oleh Latheefa Koya bahawa sejumlah 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ telah cuma diterima SPRM daripada pihak awam selepas tahun baru 2020, maka apa yang sepatutnya dilakukan di sisi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) adalah untuk mengarahkan pegawai SPRM berkenaan dengan serta-merta membuat Laporan Polis dan menyerahkan kesemua bahan yang mengandungi sejumlah 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ untuk siasatan lanjut pihak Polis sahaja, memandangkan pada dasarnya, jika pun ada, kandungannya mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, yang adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM”, katanya.

Link

https://www.themalayapost.my/dedah-bahan-bukti-sprm-telah-menyalahi-prinsip-kedaulatan-undang-undang-peguam-haniff-khatri/

Leave a Reply