TIGA SOALAN UNTUK LATHEEFA KOYA BERKENAAN RAKAMAN TELEFON NAJIB DAN ROSMAH

Share

oleh ISHAM JALIL

Pagi tadi Latheefa Koya KP SPRM mendedahkan rakaman perbualan telefon yang dikatakan antara Dato’ Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansur pada 27 Julai 2016.

Saya telah mendengar rakaman tersebut dari awal sehingga akhir.

Walaupun Najib adalah Perdana Menteri pada ketika itu yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa (atas kerelaannya), pada saya perbualan ini tidak lain hanyalah satu perbualan antara seorang suami dengan isterinya berkenaan masalah yang dihadapi mereka, sepertimana perbualan telefon ramai pasangan apabila menghadapi dugaan hidup dan cuba mencari penyelesaian.

Saya pasti ramai pasangan suami isteri yang bertengkar jauh lebih teruk dari ini di kala diuji oleh Allah SWT.

Perbualan Najib dengan Rosmah itu mungkin boleh dikata tiada apa jika dibanding dengan banyak perbualan pasangan-pasangan lain di Malaysia yang menghadapi cabaran.

Selama saya mengenali Dato’ Seri Najib sehingga kini, dia adalah seorang yang amat tenang.

Rosmah pula adalah seorang isteri yang ingin membantu suaminya menyelesaikan masalah, seperti ramai isteri-isteri dalam hampir semua keluarga di Malaysia.

Apa salahnya beliau telefon suaminya untuk memberi input?

Beliau hanya cuba mempertahankan suaminya.

……..

Saya ingin bertanya kepada Latheefa Koya tiga soalan:

PERTAMA, apakah motif beliau apabila menyebarkan rakaman perbualan telefon Najib dan Rosmah ini kini?

Dalam perbualan telefon tersebut tidak ada satu pun elemen jenayah atau salah laku.

Yang ada cuma kenyataan Dato’ Seri Najib bahawa beliau telah tandatangan surat perlantikan KP SPRM yang baru pada ketika itu iaitu Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Ini adalah fakta yang diketahui ramai, bukannya konspirasi rahsia.

Adakah Latheefa Koya sengaja ingin cuba mengaibkan Dato’ Seri Najib dan Rosmah dengan nada perbincangan telefon mereka?

Latheefa Koya dilihat tersenyum-senyum apabila rakaman tersebut mula dimainkan.

KEDUA, saya dimaklumkan terdapat lagi lapan rakaman perbualan telefon yang baru didedahkan hari ini.

Mengapa baru hari ini rakaman-rakaman ini baru “diserahkan” dan didedahkan di kala perbicaraan kes 1MDB di mahkamah telah separuh jalan?

Besar kemungkinan rakaman-rakaman ini bukanlah bukti-bukti baru yang boleh diterima di mahkamah namun hanyalah satu lagi drama politik kerajaan untuk menutup kelemahan kes mereka terhadap Najib.

KETIGA, bagaimanakah Latheefa Koya dan SPRM mendapat rakaman telefon ini?

Adakah ianya mengikut undang-undang?

Dan adakah mereka boleh “tap” perbualan telefon sesiapa sahaja yang mereka suka?

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Kanun Prosidur Jenayah, mereka perlu ada waran untuk tap perbualan telefon.

Peruntukan waran ini tertakluk kepada kes-kes seperti keganasan atau terorisme, bukannya dalam siasatan kes jenayah kolar putih seperti 1MDB.

Saya pasti SPRM tidak ada waran untuk tap perbualan telefon ini.

Sebab itu baru tadi SPRM kata mereka dapat rakaman ini secara “anonymous” atau mereka tidak tahu siapa yang buat rakaman ini atau siapa yang serahkan kepada mereka.

Saya ingin menggesa supaya pihak-pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi menyiasat perkara ini (siapa yang membuat dan menyerah rakaman ini) kerana ini melibatkan pencabulan hak asasi rakyat untuk pelindungan privasi termasuk perbualan peribadi dalam telefon.

Jika mereka boleh tap perbualan telefon Perdana Menteri dengan isterinya, adakah anda rasa perbualan telefon dan privasi rakyat biasa di Malaysia seperti anda selamat dari dicabul?

ISHAM JALIL
8 Januari 2020

Leave a Reply