#PrkKimanis : Undi BN di Kimanis hantar isyarat bantah PSS

BN menyeru pengundi supaya menolak calon Warisan di Kimanis sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan negeri Sabah untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) Jun nanti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Rahmad Dahlan, berkata PSS adalah satu ancaman kepada penduduk tempatan Sabah dan menyifatkannya sebagai penipuan Warisan terhadap rakyat negeri itu.

Jelasnya, PSS tidak pernah dimasukkan dalam manifesto Warisan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini bukan soal KDM (Kadazan Dusun Murut), orang Islam pun tidak mahu PSS. Kita sudah ada banyak masalah pendatang tanpa izin.

“Katil hospital pun kita berebut dengan mereka (pendatang asing) anak kita masuk sekolah pun berebut dengan mereka.

“Kita mahu mereka sedar, mereka faham, bahawa rakyat Sabah keseluruhannya yang diwakili pengundi Kimanis tidak mahu dan menolak sekeras-kerasnya pendaftaran PSS di Sabah,” katanya ketika berceramah di Kampung Simpangan di Kimanis, malam ini.

Rahman berkata, beliau yakin jika PSS dimasukkan dalam manifesto Warisan rakyat Sabah akan menolak parti itu dalam PRU14 lalu.

Pada 6 Sep lalu, kerajaan mengumumkan untuk PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata dokumen itu akan menggantikan ketiga-tiga jenis dokumen sedia ada dimiliki warga asing yang sudah lama menetap di negeri ini.

Beliau berkata, kad berkenaan akan dilengkapi ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya.

“Ketika ini ada tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing yang sudah lama menetap di Sabah yang dikeluarkan agensi Persekutuan dan negeri iaitu IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci. Ia menyukarkan penguatkuasaan kerana banyak dokumen, selain sukar mengesan yang mana sah dan sebaliknya.

“Jadi, kita bincang untuk meningkatkan cara penguatkuasaan dan memastikan rekod warga asing ini dibuat secara berpusat serta seragam. Sebab itu kita putuskan untuk keluarkan PSS berkuat kuasa 1 Jun 2020,” kata Muhyiddin dalam satu sidang media bersama Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Rahman mengkritik Shafie yang didakwanya gagal membawa pembangunan ke negeri itu walaupun tujuh tahun memegang jawatan sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Rahman mendakwa selama tujuh tahun Shafie melalui kementeriannya ketika itu menerima peruntukan lebih RM34 bilion.

Bahkan katanya, Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri melantik Shafie dengan harapan akan membawa perubahan kepada negeri itu.

“Meskipun RM34.8 bilion duit sudah ada dalam tangan, Shafie gagal selesaikan masalah yang ada di Sabah,” kata Rahman lagi.

Mkini

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker