Waspada jerat duniawi

Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

DUNIA kini menyaksikan rancaknya manusia berlumba-lumba mengumpulkan habuan duniawi.

Apa cara sekalipun sanggup dilakukan asalkan hajat dan impian hati tercapai. Maka, berlakulah pelbagai salah laku yang cukup kronik dalam usaha mencari kekayaan dunia itu.

Yang kaya tetap terus tidak pernah berasa cukup, malah mahukan kekayaan lagi.

Umat Islam seharusnya berwaspada dengan budaya serupa itu kerana kita disaran supaya lebih beringat akan kehidupan akhirat.

Dunia bukan matlamat buat kita kerana ia sekadar tempat persinggahan sebelum dijemput Allah menemui-Nya.

Dunia ini perkampungan sementara buat kita mengumpul bekalan ke akhirat.

Bukan bermakna kita ditegah mendapat nikmat duniawi.

Sebaliknya, kita dianjurkan menjadikan dunia ini tempat mengumpul harta dan kekayaan bagi digunakan untuk jalan yang diredai Allah SWT.

Seharusnya kita sentiasa berwaspada seandainya hati terpaut pada keduniaan tanpa mengambil berat soal akhirat.

Teladani kehidupan sahabat Rasulullah SAW apabila ada di antara mereka dianugerahkan kekayaan harta.

Uthman bin Affan iaitu menantu Nabi SAW, Abdul Rahman bin Auf antara sahabat yang memiliki harta hasil kewibawaan serta kehebatan mereka dalam perniagaan.

Mereka berdua contoh usahawan sahabat yang paling produktif.

Tetapi hati mereka tidak pernah terikat dengan kekayaan yang Allah anugerahi itu.

Malah, setiap harta disalurkan semula demi kemaslahatan ummah.

Segala dana diperuntukan bagi misi Rasulullah SAW menyebarkan syiar Islam.

Begitu juga dengan contoh lain ketika zaman tabiin yang turut melahirkan ramai tokoh perniagaan yang masyhur.

Antaranya, ulama tabiin terunggul seperti Ibnu al Mubarak.

Beliau bukan sahaja seorang ahli ilmu yang hebat, tetapi turut disegani kerana memiliki perniagaan hingga menjadi seorang berharta, tetapi soal akhirat tidak dikompromi.

Rasa kedekut dan perasaan mengalami kerugian seandainya wang dan harta disumbangkan kepada pihak lain tidak pernah ada dalam kotak fikiran mereka.

Itu impaknya apabila hati tidak pernah terikat dengan harta dunia.

Yang dilihat di mata zahir dan hati hanyalah kehidupan akhirat.

Semakin banyak harta yang Allah kurniakan, semakin laju dan rancak mereka hulurkan demi kepentingan agama dan masyarakat.

Harta kekayaan yang dimiliki tidak dibolot secara rakus untuk dijadikan milik peribadi semata-mata.

Mereka benar-benar menginsafi apa sahaja kekayaan yang ada pada diri adalah bentuk pinjaman sementara yang Allah SWT anugerahkan.

Imam al-Ghazali pernah berpidato yang antara lain menyebut: “Sahabat-sahabat Nabi SAW berjalan atas landasan yang terang lagi seimbang.

“Mereka tidak mengambil dunia untuk dunia, sebaliknya dunia diambil untuk kepentingan agama.

“Mereka tidak menjadi rahib yang mengetepikan dunia secara keseluruhannya, namun dalam semua urusan mereka tidak pernah cuai dan tidak pula melampaui batas. Mereka sentiasa bersikap sederhana.”

Itu testimoni seorang ulama Islam tersohor apabila membicarakan sikap dan keperibadian watak sahabat.

Kepentingan untuk kita mempersiapkan bekalan akhirat ketika di dunia pernah dipesankan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq Beliau berkata: “Wahai semua manusia. Sesungguhnya kenikmatan hidup dan kemegahan dunia melalaikan kamu mengingati kematian.

“Maka, bekalkanlah diri kamu untuk menempuhi kehidupan alam kubur kamu dengan amal-amal soleh.”

Benar, ketika nyawa sudah tiada, kita akan meninggalkan segala-gala yang kita miliki.

Sayang macam mana sekalipun terhadap kekayaan itu, ia sudah tidak memberi sebarang makna lagi.

Harta benda itu akan direbut oleh mereka yang hidup.

Lihat bagaimana Qarun dan Firaun dengan limpahan harta mereka, namun kesudahannya tidak memberi sebarang makna.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker