Rancang buka semula pusat keamanan Saudi punca kata dua kepada Maszlee, kata sumber

Cubaan membuka semula pusat “anti-terorisme” yang disokong Arab Saudi dan ditutup kerajaan Pakatan Harapan dikatakan punca kata dua Dr Mahathir Mohamad kepada Maszlee Malik, kata sumber kepada FMT.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata perdana menteri marah apabila dengar Maszlee di belakang rancangan membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), di samping aduan demi aduan terhadap bekas menteri pendidikan itu dalam mengendalikan portfolionya.

“Itu yang membuatkan Mahathir habis sabar, dan ia berlaku selepas Saudi meminggirkan Sidang Kemuncak KL awal bulan ini, jadi baginya tidak patut sama sekali,” katan sumber itu, merujuk kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dihadiri pimpinan Turki, Iran dan Qatar, dan dibantah Riyadh.

Pembantu Maszlee menafikan dakwaan itu, mengatakan ia “fitnah” dan “sengaja untuk burukkan Maszlee”.



Rancangan untuk pusat itu, yang dicadangkan selepas lawatan Raja Saudi, Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, dibatalkan pada Ogos 2018, 3 bulan selepas Pakatan Harapan berkuasa.

Pengkritik mempersoalkan langkah bersama Riyadh dalam memerangi terorisme, mengatakan Saudi tidak layak mengetuai pusat itu memandangkan kempen pengeboannya di Yaman, serta doktrin rasminya, Wahhabisme yang dikaitkan dengan ideologi IS.

Kerajaan dulu bersetuju menyediakan tanah di Putrajaya untuk pusat itu.

FMT difahamkan pada satu mesyuarat 31 Dis lepas, perdana menteri memberitahu Maszlee beliau tidka akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan membuka semua KSCIP.



Sumber berkata, Mahathir sangat marah Saudi mengenakan tekanan ekonomi ke atas Pakistan sehingga memaksa Perdana Menteri Imran Khan membatalkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak KL.

Maszlee, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Jan, kira-kira 20 bulan selepas dilantik sebagai menteri pendidikan dengan jangkaan reformasi besar di sektor pendidikan.

Tempoh beliau menyaksikan siri kontroversi berkaitan sektor pendidikan, dengan pengkritik menyeru peletakan jawatannya.

Maszlee berkata keputusannya meletak jawatan atas nasihat Mahathir.



Perdana menteri belum mengumumkan penggantinya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker