Gagal menyinar di Kedah, Mukhriz bakal ke Pusat?

Wajah dan nasib Mukhriz bakal diubah?

PERDANA Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terbukti boleh mengubah wajah, nasib seseorang dalam politik.

Lihatlah! Dr. Maszlee Malik dari tidak ada apa-apa, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kerap menerima panggilan wartawan untuk membalas komen isu-isu semasa, tiba-tiba diangkat menjadi menteri paling kanan – portfolio pendidikan.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu, dari penceramah politik yang memukau hadirin dengan gelagat lucu dan faktanya yang tajam, kini Menteri Pertahanan. Ya, anda kanan juga.

Datuk Seri Rina Harun, Ketua Srikandi Bersatu yang baru berumur 46 tahun pun bukan main berat tanggungjawabnya mengetuai kementerian yang dahulunya dalam Barisan Nasional (BN) hanya orang kanan UMNO sahaja menyandangnya.

Justeru bila ada pihak yang memetik anakanda bongsu Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Muhkriz sebagai salah seorang calon Menteri Pendidikan yang dikosongkan Maszlee, Suara Merdeka yakin ia tidak mustahil direalisasikan.

Di Kedah, mahu tidak mahu ramai maklum Mukhriz dilihat `agak kurang’ berbanding menteri besar-menteri besar junior lain seperti Amirudin Shari (Selangor), Datuk Dr. Sahruddin Jamal (Johor) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak).

Sepatutnya masuk fasa kedua menjadi menteri besar, beliau menjadi contoh kepada menteri-menteri besar Pakatan Harapan yang lain. Pengalaman mengetuai eksekutif pentadbiran negeri patut menjadikan Mukhriz lebih cemerlang dan tidak terkontang-kanting seperti hari ini.

Atas sebab itu, seandainya ayahanda beliau menjadikannya Menteri Pendidikan, karier politik Mukhriz boleh `hidup’ kembali.

Dalam konteks PH, kuasa melantik dan menggugur menteri adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri. Mereka dalam PH yang tidak ada apa-apa, tetapi jika diletakkan di kedudukan strategik, kerjaya dan kariernya akan bersinar semula.

Suatu ketika Datuk Seri Mahdzir Khalid enggak punya apa-apa. Bekas Menteri Besar Kedah yang juga orang kuat Pak Lah semasa era Najib Razak itu cuma Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Tetapi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari UMNO, Mahdzir menang Naib Presiden – orang nombor tiga UMNO.

Barang diingat pergolakan politik hari ini sudah memasuki gelombang kedua. Jika tidak ada apa-apa yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri bulan lima nanti, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat asakan terhadap Perdana Menteri. Bukankah perjanjian dua tahun peralihan kuasa ke “PM ke-8” itu 9 Mei tahun 2020 ini? Ia `due date’ meskipun Dr. Mahathir mengatakan peralihan akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) November nanti.

Namun, dengan suasana politik hari ini, kumpulan Anwar mampu bersabarkah?

Kalau Perdana Menteri `masih duduk, tengok sahaja macam hari ini’, ditambah dengan graduan keluar universiti tidak ada kerja, banyak yang menganggur, apatah lagi kualiti hidup kian menurun, pegawai kerajaan tertekan, prestasi sebahagian besar menteri turun naik tidak boleh dibanggakan, maka apa sasaran khususnya daripada Bersatu seterusnya?

Tekanan pasti dibuat oleh pihak-pihak yang tidak sebulu dengan Bersatu dalam PH.

Justeru, rombakan Kabinet yang dijangka ramai menyusul selepas ini – tidak kira mikro atau makro- akan melibatkan dua persimpangan yang harus difikirkan pucuk pimpinan.

Pertama, adakah memerlukan suatu rombakan Kabinet yang luar biasa untuk menarik kembali keyakinan rakyat kepada PH atau survival politik Bersatu sendiri yang akhirnya orang Melayu akan melihat ada kawalan terhadap DAP dalam PH. Ini sekali gus melenyapkan pandangan atau pemikiran rakyat bahawa Dr. Mahathir dilihat lebih banyak bermain politik daripada memberi fokus untuk memperkasakan ekonomi dan isu `perut’ rakyat.

Namun lebih penting lagi sejauh mana survival politik Bersatu diterjemahkan dalam rombakan Kabinet nanti.

Di akhirnya dalam politik, ia bergantung nyawa bukan kepada rakyat tetapi Perdana Menteri. Hanya Perdana Menteri sahaja boleh ubah nasib, wajah orang dalam politik, termasuklah anakandanya Mukhriz.
– Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker