#PrkKimanis : Radu Tatap Radu Dan Ubah Balik Bakal Gamatkan Kempen BN

Share

UMNO Sabah telah memilih dua ‘war-cry’ yang bakal gamatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis serta lambang rasa hati para pengundi, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

“Radu tatap radu melambangkan semangat perjuangan dalam loghat Sabah yang membawa maksud lawan dan terus lawan. Itu menandakan semangat beraninya rakyat untuk menegakkan kebenaran dan berani menolak kerajaan.

“Jadi terus lawan walaupun berada di sebelah pembangkang tapi rakyat berani bersuara dan menggunakan hak mereka.


“Yang kedua ‘ubah balik’. Ubah balik ini popular di Kimanis kerana mereka merasakan sudah tersalah pilih dulu dengan janji yang diberikan oleh PH dan sekutunya Warisan. Tiba-tiba sekarang janji itu tidak ditunaikan maka ramai khususnya anak-anak muda ingin balik semula dan memberi sokongan kepada BN,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Annuar, kedua-dua ‘war-cry’ ini dipilih sendiri oleh UMNO Sabah dan setakat ini ia mendapat sambutan malah melekat di jiwa penduduk Kimanis.

Tinjauan UMNO-Online juga mendapati ‘war-cry’ radu tatap radu kini seolah-olah menjadi ‘salam’ antara satu sama lain dan apabila bersua sahaja, radu tatap radu menjadi kalimah pertama yang akan diungkapkan.


Untuk rekod, PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE


Leave a Reply