Penceraian : Fahami Lima Keadaan

Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

APAKAH jenis-jenis perceraian yang memerlukan pasangan itu melakukan akad nikah semula?

Adakah perkahwinan itu memberi kesan terhadap bilangan talak mereka sama ada kembali kepada asal atau tetap berkurang?

Perceraian dalam Islam terjadi dalam lima keadaan.



Perceraian yang berlaku itu ada yang boleh dirujuk dan tidak boleh rujuk.

Bagi perceraian yang tidak boleh rujuk, jika mereka hendak kembali sebagai suami isteri, maka perlu berakad nikah semula.

1. Cerai secara talak

Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan jelas atau kinayah (sindiran).



Talak dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak Raj’i dan talak Ba’in. Talak raj’i ialah seorang suami yang menceraikan isterinya dan masih boleh rujuk tanpa akad nikah dengan syarat isterinya masih berada dalam tempoh iddah.

Talaq bai’in dibahagikan kepada dua iaitu talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra.

Talak ba’in sughra ialah talak yang jatuh serta-merta pada masa lafaz talak dilafazkan.

Semua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak.



Sekiranya suami ingin kembali bersama isterinya, suami perlu menikahinya dengan mas kahwin yang baharu.

Talak ba’in kubra pula adalah talak tiga yang dilafazkan suami yang mana semua perhubungan suami isteri terputus selepas talak dijatuhkan.

Suami tidak boleh rujuk melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain, bersetubuh dengan suami baru dan menceraikannya.

Maka, baru dia boleh berkahwin dengan bekas isterinya selepas tempoh iddah tamat.




2. Cerai secara fasakh

Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri selepas diminta cerai oleh isteri melalui pengadil (hakim).

Fasakh hanya boleh dilakukan pihak berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti ketiadaan nafkah isteri selama tempoh tiga bulan, kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati atau salah seorang daripada suami atau isteri murtad.

3. Cerai secara li’an



L’ian menurut istilah fekah ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina.

Sumpah diucapkan sebanyak empat kali bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah kelima, dia meminta kutukan Allah SWT sekiranya berdusta.

Lazimnya, li’an berlaku jika suami menafikan anak yang dikandung isterinya sebagai nasabnya dan mendakwa ia hasil hubungan zina isterinya dengan lelaki lain.

4. Cerai secara khulu’



Khulu’ dari segi bahasa bermaksud menanggal, mencabut atau melepaskan.

Takrif khulu’ ialah perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’.

Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri untuk bercerai disertai dengan pampasan.

Oleh itu, dia disyariatkan menebus diri daripada suaminya dengan gantian memberi kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama.

5. Cerai secara taklik

Lafaz cerai dikaitkan dengan suatu janji dibuat suami selepas akad nikah disempurnakan.

Ia adalah perceraian kepada sesuatu masa atau perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalak.”

Cerai taklik boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas taklik dan selepas aduan dibuat dan disahkan mahkamah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 229 bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Dalam surah sama ayat 230 bermaksud: “Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

Dua jenis perceraian yang memerlukan pasangan akad nikah semula iaitu fasakh dan khulu’.

Sekiranya pasangan bercerai melalui fasakh atau khulu’, maka perkahwinan itu terputus sama sekali (talak ba’in sughra).

Talak ba’in sughra tidak boleh dirujuk sama ada khulu’ berlaku sebelum atau selepas persetubuhan kecuali dengan akad dan mas kahwin baharu.

Fasakh tidak mengurangkan bilangan talak dimiliki suami manakala khulu’ mengurangkan jumlah talak.

Penulis ialah peguam syarie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker