Kalau orang terhormat kita sendiri tak guna kereta nasional’

Bront Palarae berkata jenama tempatan bakal berdepan kesukaran untuk menarik minat pengguna luar sekiranya produk keluaran negara tidak disokong rakyat sendiri terutama pemimpinnya.

Pelakon itu berkata demikian ketika timbul berita bahawa menteri kabinet akan menggunakan kereta mewah import sebagai kenderaan rasmi sehingga menjadi polemik di media sosial ketika ini.

“Kalau orang terhormat kita sendiri tak nak guna kereta nasional, macam mana kita nak meyakinkan orang luar untuk beli,” ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan bagi kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Urus niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan pemberian kontrak kenderaan itu akan dibuat Kementerian Kewangan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Namun, Saifuddin menjelaskan, Kabinet sudah membincangkan kaedah terbaik yang dapat memberi penjimatan kepada kerajaan, antara lainnya memberikan elaun kenderaan atau menyediakan kereta rasmi.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung pemberian kontrak kereta mewah tersebut.

Sementara itu, Bront secara sinis berkata, sekiranya penggunaan kereta mewah import dijadikan alasan untuk mengukuh hubungan diplomatik, adalah lebih baik kenderaan jenama tempatan juga diimport sebagai kegunaan rasmi kenderaan di negara luar.

“Jika ni untuk kukuhkan hubungan diplomatik, kita juga perlukan ratusan jenama Perodua untuk pegawai kerajaan Jepun juga,” ciap Bront.

Pelakon Gundala itu dalam ciapannya turut menulis “jelas sekali bukan #HarapanBagiRakyat”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker