PEMBATALAN Kongres Cina: DAP mula mengaum mencari mangsa?

Sewaktu mengomen kenyataan Hanipa Maidin yang menyanggah keputusan polis memohon perintah mahkamah untuk membatalkan Kongres Cina anjuran Dong Jiao Zong malam 27 Disember lalu, saya ada bertanya: “Tidakkah kenyataan Hanipa (selaku Timbalan Menteri Undang-Undang) ini akan membuka laluan kepada pemimpin DAP, khususnya yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri, untuk menjadi lebih berani dalam mengkritik tindakan polis ini?”

Seperti betul juga nampaknya telahan ini bila semakin ramai pemimpin DAP berbuat begitu, bermula dari kenyataan taiko besarnya, Lim Kit Siang, pada 28 Disember yang menyebut pihak polis tidak sepatutnya membatalkan kongres itu dan polis perlu berlaku adil dengan bertindak ke atas mereka yang dikatakan tanpa mempunyai sebarang sebab mengugut untuk membuat kacau atas isu kongres itu.

Hari ini, 30 Disember, pula, didahului oleh kenyataan SUHAKAM yang “berharap agar pihak polis akan membuat siasatan sepenuhnya terhadap ancaman keganasan”, dua Menteri DAP pula sudah bersuara, iaitu:

(1) Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang berkata: “DAP kecewa dengan keputusan polis untuk menghalang kongres Dong Jiao Zong kerana sekiranya kita percaya dengan kebebasan bersuara dalam Malaysia baharu ini, jadi tiada sebab untuk menghentikan kongres berkenaan. Sebagai contoh, jika Kongres Maruah Melayu diberi kebenaran untuk diteruskan, ini juga sepatutnya dibenarkan.”

(2) Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, yang berkata: “Ancaman serius telah dibuat terhadap Dong Jiao Zong. SKMM telah telah memanjangkan perincian-perincian yang perlu dalam kes ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Tindakan mesti dibuat dalam kes ini. Pihak polis dan Peguam Negara diharap bertindak dalam perkara ini secepat mungkin.”

Lihatlah sahaja bagaimana kerana adanya Timbalan Menteri Melayu yang mengkritik pihak polis, dan kerana tiadanya Menteri dan Timbalan Menteri Melayu yang mempertahankan pihak polis, melainkan beberapa orang pemimpin biasa BERSATU, maka Menteri bukan Melayu kini telah bukan sahaja turut mengkritik pihak polis malah menekan pihak polis dan Peguam Negara supaya mengambil tindakan ke atas mereka yang didakwa mengugut Dong Jiao Zong.

Siapakah pihak-pihak yang didakwa mengugut Dong Jiao Zong ini? Hanya Gobind Singh Deo dan SKMM, selain pihak polis yang dikatakan menerima laporan SKMM, yang tahu.

Apakah ini akan membawa kepada pendakwaan terhadap pihak-pihak tertentu? Hanya Peguam Negara yang tahu kerana kuasa mendakwa adalah budi bicara mutlak beliau.

Solid dan tidak berselindung lagi DAP di dalam membela Dong Jiao Zong nampaknya hingga langsung tiada bayangan mengenai kesalahan yang mungkin ia turut lakukan.

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker