Pemansuhan insentif khidmat kritikal langkah terbelakang

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memansuhkan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK).

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata langkah itu dilihat sebagai langkah terbelakang yang dibuat oleh kerajaan sedangkan negara di landasan yang betul untuk Malaysia maju 2025.

“Kumpulan ini menerima BIPK sejak sekian lama dan kenapa perlu dimansuhkan.

“Walaupun ianya melibatkan pengambilan baru, Cuepacs tetap tidak bersetuju kerana ianya akan wujud 2 kumpulan yang berbeza sedangkan jawatannya adalah sama,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata pemansuhan BIPK hanya melibatkan pelantikan baru sahaja yang dilantik mulai 1 Januari 2020.

JPA berkata penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BIPK secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan maklumat yang tular di media sosial semalam yang mempersoalkan pemansuhan BIPK.

JPA menjelaskan, walaupun beberapa elaun termasuk BIPK dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Adnan berkata BIPK penjawat awam baru itu perlu dikekalkan selagi jawatan tersebut wujud kecuali jawatan itu dimansuhkan.

Beliau berkata perkhidmatan mereka rata-rata sangat mencabar malah semakin menjadi kritikal.

“Cueapcs juga kesal kerana pemansuhan ini tiada rundingan secara terus dengan Cuepacs.

“Pada ketika perkhidmatan awam ke arah reformasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, berita pemansuhan BIPK ini amat mengejutkan Cuepacs dan sangat menyedihkan,” katanya.

Adnan berkata rata-rata skim yang terlibat ini kebanyakkannya meninggalkan perkhidmatan kerajaan kerana tawaran di luar yang lebih menarik.

Beliau berkata jika BIPK ini dimansuhkan, Cuepacs khuatir makin ramai pakar kerajaan terus keluar dari perkhidmatan yang boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Justeru itu, kami mohon dipertimbangkan semula. Hanya mansuhkan kepada jawatan yang tak relevan sahaja,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker