Saudi tak puas hati Dr M anjur sidang dihadiri ‘musuh’

Share

Dr Mahathir Mohamad menghadapi tekanan Arab Saudi kerana menganjurkan persidangan pemimpin-pemimpin Islam yang dianggap Riyadh sebagai usaha melawan perikatan pro-Washington yang terbina sejak 3 tahun lalu, FMT difahamkan dalam perbualan dengan sumber-sumber diplomatik yang rapat dengan Sidang Kuala Lumpur yang bermula hari ini.

FMT juga mendapati kemarahan Arab Saudi itu disebabkan penyertaan Qatar dan Iran, musuh ketat Riyadh di Timur Tengah.

“Arab Saudi memang tidak berpuas hati dengan keputusan Malaysia keluar daripada perikatan ketenteraan terhadap Yaman dan membatalkan pusat Raja Salman.


“Jadi perhimpunan ini dianggap sebagai satu penghinaan,” katanya seorang diplomat kanan, merujuk kepada keputusan Putrajaya membatalkan rancangan membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) 3 bulan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Kerajaan juga mengumumkan ia keluar daripada perikatan ketenteraan pimpinan Saudi yang dipersalahkan atas kempen pengeboman di Yaman.

Sebelum sidang bermula, tekanan Arab Saudi – yang memiliki pengaruh yang kuat ke atas kerajaan-kerajaan Islam termasuk menerusi bantuan-bantuan lumayan serta kawalan ke atas Mekah dan Madinah yang membolehkan ia menentukan kuota haji tahunan – memaksa puluhan pemimpin negara Islam menjauhkan diri.


Penampilan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang dinanti-nantikan juga dibatalkan pada saat-saat akhir, langkah yang dilihat sebagai akibat daripada tekanan Arab Saudi, salah satu pemberi bantuan terbesar kepada ekonomi Pakistan yang bermasalah.

Tahun lepas, Riyadh mempersetujui pakej AS$6 bilion, sebahagian daripadanya termasuk penangguhan pembayaran eksport minyak ke Pakistan, susulan lawatan Imran ke Arab Saudi.

Seorang lagi pemimpin yang tidak hadir adalah Presiden Indonesia, Joko Widodo walaupun mewakili negara paling ramai penganut agama Islam.


Akhbar Pakistan yang berpengaruh, Dawn memetik menteri luar negerinya, Shah Mehmooh Qureshi sebagai berkata Imran cuba jadi orang tengah meyakinkan penyertaan Riyadh pada sidang KL, walaupun Arab Saudi berkeras hendakkan penggunaan saluran Pertubuhan Kerjasama Islam.

Laporan itu berkata jika Imran gagal “merapatkan jurang antara Riyadh dan Kuala Lumpur”, beliau tidak akan menyertai sidang itu.

Mahathir bagaimanapun nafi tekanan Saudi ada kaitan dengan keputusan Imran itu, mengatakan “beliau mungkin ada isu lain”.

“Dengan ketiadaan Imran, hanya 3 ketua negara, daripada 56 yang diundang, akan menyertai pembukaan sidang esok,” kata sumber yang sama kepada FMT.

Tiga ketua kerajaan itu adalah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

“Qatar, Iran dan Turki, ketiga-tiga negara ini tidak disukai Saudi,” kata sumber itu.

Erdogan tiba hari ini sementara Rouhani tiba semalam. Kedatangannya disambut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sumber itu memberitahu FMT pemillihan Mohamad sebagai penyambut pemimpin Iran itu adalah “menarik”.

Katanya, Mohamad menyebabkan beberapa menteri beragama Islam dalam Kabinet gelabah apabila beliau melawan Iran awal tahun ini.

Gambar pemimpin Amanah itu bersolat diimamkan imam Syiah juga membawa kepada kritikan daripada pengikut Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, yang tafsiran Islamnya dilihat mengikut fahaman Saudi-Salafi.

“Pesanan Putrajaya, atau lebih penting lagi pesanan Mahathir kepada pengkritik sidang itu adalah Malaysia mahu keluar daripada naratif sektarian yang sekian lama mentakrifkan naratif Islam Malaysia, terutama hubungannya dengan negara-negara Islam lain.

“Ini satu langkah yang berani, tetapi bagaimana orang-orang konservatif di peringkat tertinggi kerajaan melihatnya, itu belum diketahui,” kata sumber itu.

FMT

Leave a Reply