Kes Altantuya cubaan segera mahu sumbat Najib masuk penjara

Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap pada sidang media selepas keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.
Pendedahan melalui akuan bersumpah (SD) oleh Azilah Hadri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu melibatkan Datuk Seri Najib Razak disifatkan satu tindakan ‘terdesak’.

Ia dibuat hanya sekadar untuk melihat bekas Perdana Menteri terbabit masuk penjara secepat mungkin memandangkan kes-kes lain seperti SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin akan memakan masa lama untuk membuktikan pendakwaan terhadap Najib.

Itu adalah luahan peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengulas tindakan ‘bertubi-tubi’ ke atas anak guamnya sejak kebelakangan ini.

“Najib juga berminat untuk kita mohon menjadi pencelah dalam kes ini kerana ada bermacam-macam dakwaan itu dan ini. Sangat jelas sekali beliau (Najib) berminat untuk ‘membersihkan’ namanya.



“Juga jelas di sini, seseorang tidak boleh sesuka hati sahaja mengeluarkan dakwaan memburukkan pihak lain dan mahkamah membiarkan perkara itu berlaku tanpa pihak itu berada dalam mahkamah.

“Najib telah menafikan setiap dakwaan ini, malah anda semua perlu tahu dakwaan ini secara ‘tiba-tiba’ sahaja wujud selepas 10 tahun kes ini berlalu buat kali pertama.

“Dakwaan ini di buat pada saat-saat akhir Azilah ke tali gantung, kita percaya ini adalah cubaan terdesak olehnya. Selain itu, jelas sekali tindak tanduk ini seolah-olah di dalangi oleh seseorang yang saya tidak mahu cerita terperinci pada masa ini.

“Jelas sekali, anak guam saya menjadi sasaran mangsa politik agar kes ini boleh digunakan untuk menyumbatnya dalam penjara tanpa permohonan jaminan. Ini sangat jelas sekali,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuan hari ini.



Ketika diasak siapakah yang sebenarnya merancang seperti dakwaan beliau, Muhammad Shafee tidak boleh memberikan apa-apa maklumat sehingga mendapat pengesahan serta bukti rasmi.

Bagaimanapun kata beliau, Najib sememangnya mahu pihak berkuasa menyiasat dengan kadar segera kandungan dalam SD yang telah dibuat oleh Azilah pada 17 Oktober lepas.

SD Azilah yang memaparkan 60 kenyataan itu memetik peranan beberapa individu dalam pembunuhan Altantuya termasuk Najib, Abdul Razak Baginda, Deputi Supritendan Musa Safri serta pertemuannya dengan penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam serta proses ketika beliau ditahan dan disiasat.

Kata Muhammad Shafee, pihaknya hendak tahu siapakah di sebalik Azilah melakukan akuan bersumpah itu walhal ketika perbicaraan terdahulu tidak ada perkara seumapama itu berlaku.



“Ketika itu tidak pula nama-nama ini dipetik mahupun ada SD dengan maklumat tambahan. Jadi, siapakah yang melakukan semua ini kini?

“Kita hendak tahu siapakah di sebalik akuan bersumpah ini? Saya juga dapat tahu tentang sekumpulan ejen Malaysia yang mengadakan pertemuan dengan Sirul Azhar bagi melakukan perkara yang sama tahun ini. Semua ini perlu disiasat. Siapa di sebalik semua ini?

“Kita sendiri lihat bagaimana kes-kes seperti SRC International dan 1MDB ini sebenarnya memakan masa yang sangat panjang dalam menyabitkan kesalahan anak guam saya sekaligus menyumbatnya dalam penjara.

“Ada segelintir pihak mahu kes-kes ini diselesaikan segera dan jatuhkan hukuman secepat mungkin tetapi nampaknya itu tidak berjaya. Apatah lagi kini Najib lebih popular luar biasa dari sebelum ini.,” tegasnya.



Muhammad Shafee berada di Istana Kehakiman hari ini bagi untuk mengemukakan permohonan menjadi pencelah dalam usaha Azilah menyemak semula sabitan Mahkamah Persekutuan terhadap tuduhan ke atasnya pada 2015.

Kes permohonan bicara semula oleh Azilah itu akan diperdengarkan pada tahun hadapan April 20. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker