Azmin kait saman agensi pelancongan terhadapnya dengan Anwar

Share


Mohamed Azmin Ali mengaitkan pemilik agensi pelancongan yang menyamannya berhubung bil perjalanan yang tidak dibayar dengan konspirasi terhadap diri beliau membabitkan kontroversi video seks sejenis awal tahun ini.

Satu tuntuan balas terhadap saman itu menyebut, pemilik agensi pelancongan terbabit merupakan ibu bapa kepada Muhammad Haziq Hassan Mohd Ayub yang ditahan polis kerana terbabit mengedarkan video seks berkenaan.

Ia berkata, ibu bapa Haziq “mempunyai hubungan yang rapat” dengan presiden PKR Anwar Ibrahim dan menyifatkan saman itu difailkan dengan tujuan mencederakan Azmin secara politik.

Kontrovesi video seks pada Jun lepas melibatkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz yang berkata, beliau adalah individu yang dipaparkan dalam beberapa klip video menunjukkan 2 lelaki melakukan hubungan seks sejenis.

Haziq juga menamakan Azmin sebagai pasangannya, dakwaan yang dinafi keras oleh Azmin yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi dan timbalan presiden PKR.

Tuntutan balas Azmin terhadap agensi pelancongan berkenaan yang dilihat oleh FMT mendakwa konspirasi video seks ersebut “didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik”, dengan merujuk kepada kenyataan polis berhubung video berkenaan.

Azmin mendakwa kandungan saman agensi pelancongan itu dibocorkan kepada laman web Sarawak Report sebagai sebahagian daripada konspirasi itu.

Tuntutan balas itu juga mendakwa tujuan agensi pelancongan terbabit memfailkan saman (berhubung bil tidak berbayar) dan membocorkannya kepada Sarawak Report tanpa memberikan latar belakang sebenar adalah bertujuan untuk mencederakan defendan (Azmin) secara politik bagi “memberi kelebihan kepada pemimpin politik yang dinyatakan sebelum ini.”

Tuntutan balas itu difailkan pada Jumaat oleh firma guaman Daim & Gamany.

Ia menyebut bahawa ibu Haziq, Yasmin Hanim Arbee, memiliki saham majoriti dalam YHA Travel & Tours, sementara bapanya Mohd Ayub Hassan merupakan pengerusi agensi tersebut.

Saman oleh YHA Travel & Tours yang difailkan bulan lepas berhubung bil perjalanan tidak berbayar sebanyak RM328,901 yang turut meliputi perjalanan peribadi keluarga Azmin dan perjalanannya ke Sandakan semasa pilihan raya kecil Parlimen itu yang kemudiannya muncul dalam kontroversi video seks berkaitan.

Perincian saman berkenaan mula didedahkan oleh Sarawak Report.

Dalam tuntutan balasnya Azmin berkata, Yasmin dan Mohd Ayub “mempunyai hubungan yang rapat” dengan Anwar dan mendakwa YHA Travel & Tours membocorkan penyataan tuntutannya dengan berhujah bahawa Sarawak Report “tidak mungkin mengetahui writ dan penyata tuntutan itu tanpa bantuan” daripada agensi pelancongan itu.

Ia berkata, wujud niat tidak baik dengan membawa perkara itu ke mahkamah, dengan Azmin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan ke atas kerosakan dan kerugian dialaminya.

Azmin juga menafikan berhutang sebanyak RM328,901 dengan agensi tersebut, tetapi menerima liabiliti berjumlah RM162,272 terdiri daripada bil sebanyak RM41,752 ke atas akaunnya dan lebih RM60,000 ke atas akaun 2 anak lelakinya yang belum dewasa.

Beliau menolak liabiliti ke atas akaun anak lelaki dan 3 anak perempuan dewasanya dan menafikan liabiliti ke atas akaun perjalanan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Azmin menafikan mengetahui mengenai akaun atas nama Wan Putera Shahjuan Dato W Salihudin dan menolak liabiliti ke atas wang sebanyak RM2,570 yang dituntut oleh agensi berkenaan.

Tuntuan balas itu juga menyebut bahawa saman yang difailkan oleh YHA Travel & Tours merupakan satu “pelanggaran persefahaman” antara Azmin dan agensi tersebut.

Ia berkata, mereka mempunyai hubungan selama 20 tahun yang menyaksikan beliau (Azmin) diberikan “kebebasan yang meluas untuk menyelesaikan sebarang jumlah yang terhutang” kepadanya (YHA Travel & Tours).

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *