Teka-teki ‘PM-8’ cetus tragedi negara

KEMELUT peralihan kepimpinan dari Perdana Menteri sedia ada, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada bakal PM ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim merencatkan lagi daya usaha untuk mengembalikan kekukuhan ekonomi negara.

Dengan siri luahan `janji-janji mulut’ silih berganti daripada Dr. Mahathir menjanjikan kerusi nombor satu kerajaan itu, ini sekali gus meletakkan pelabur asing dalam keadaan dilema.

Kebanyakan pelabur waktu ini mengambil sikap `tunggu dan lihat’ siapa peneraju kerajaan Pakatan Harapan dalam waktu terdekat. Ditambah kecelaruan kenyataan-kenyataan dan komen bahawa `Anwar bukan pilihan PM-8’, menyebabkan pelabur asing menarik brek tangan untuk menanam modal dan pelaburan di sini.

Suara Merdeka difahamkan, pelabur cukup keliru saat ini. Siapa yang membuat keputusan dalam menentu serta menggerakkan hala tuju ekonomi negara? Adakah Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi atau Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)? Dengar cakap CEP diketuai Tun Daim Zainuddin `masih berfungsi’ biarpun dikatakan telah dibubarkan, benarkah?

Siapa buatputusan isu-isu berkisar ekonomi Malaysia memasuki gerbang tahun 2020 ini sehingga menjadikan pelabur dalam `penglihatan kabur dan membimbangkan’.

Memburukkan lagi adalah KPI sebahagian besar menteri yang tidak menentu dan flip-flop, sekali gus meletakkan batu jemala di kepala Perdana Menteri yang dalam usia 94 tahun ini sepatutnya lebih banyak mengatur strategi selaku `pengarah’, bukannya pekerja.

Amaran kemungkinan ekonomi negara akan merudum tahun ini bukan rahsia lagi.

Nikkei, media utama Jepun pada Oktober 2018 lagi memberi gambaran keadaan ekonomi Malaysia semasa adalah buruk.

Namun, perkara itu tidak dipersetujui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyelar laporan itu memberi gambaran tidak tepat.

Tindakan Guan Eng tidak berjaya menghalang amaran demi amaran dan persepsi yang dikeluarkan selepas itu.

Awal tahun ini, syarikat penarafan kredit antarabangsa, Moody’s dilaporkan berkata, hutang dan defisit negara yang semakin meningkat akan menjejaskan Sovereign Credit Rating (SCR) negara, manakala institusi kewangan Jepun, Nomura pula menurunkan penarafan untuk saham Malaysia.

Pada 13 Mac lalu, Bloomberg melaporkan Malaysia satu-satunya pasaran yang mencatatkan penurunan. Menurut media antarabangsa itu, indeks FBM KLCI susut lebih 1% tahun ini manakala Singapura melonjak 5% dan Indonesia pula naik 3%.

Ada kalangan netizen berkongsi satu perkara ini dengan Suara Merdeka.

Kata mereka, di era pemerintahan Barisan Nasional dulu, meskipun Malaysia sering diselubungi berita negatif kerana 1MDB, institusi penarafan antarabangsa memberikan markah agak baik kepada prestasi ekonomi negara.

Namun, PH berjaya meyakinkan rakyat keadaan sebaliknya – di mana Malaysia menuju ke arah kehancuran.

Tetapi, pelabur tetap yakin dengan penarafan antarabangsa dan ini dapat dilihat menerusi nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang meningkat selari penarafan antarabangsa sehingga sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Setelah PH menjadi kerajaan, institusi penarafan antarabangsa memberikan markah agak suram terhadap prestasi ekonomi negara. PH pula cuba meyakinkan rakyat yang ekonomi negara stabil dan kukuh.

Namun, keputusannya sama, pelabur tetap lebih mempercayai penarafan antarabangsa dan kini hilang keyakinan serta meninggalkan pasaran Malaysia.

Masih mahu bersahut-sahutankah Dr. Mahathir tentang teka-teki siapa bakal PM-8?

Kalau tidak Anwar jawatan itu, katakan tidak. Jangan bermain api Tun M!

– SUARA MERDEKA

Related Articles

One Comment

  1. Sanggupkah sebahagian besar rakyat Malaysia menerima peliwat kebangsaan sebagai PM ke-8 walaupun ia mungkin dapat meningkatkan pelaburan dan ekonomi negara?

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker