Perjuangan Umno bukan barang dagangan, kata Zahid

Selepas berakhirnya perhimpunan agung Umno pada 7 Disember lalu, presidennya Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin dan anggota parti itu memperkuatkan daya tahan terhadap apa yang disifatkannya sebagai “godaan tawaran material yang tidak terduga”.

Beliau berkata, ia bagi mengukuhkan gaya politik baru Umno iaitu politik ketahanan – daripada godaan tersebut – dan juga “politik berimbang” bagi menanggalkan budaya negatif yang dikaitkan dengan parti itu sebelum ini.

“…Pasca PAU 2019, wajar diperteguhkan (gaya politik baru Umno) dengan memperkuatkan daya tahan, daya saing dan daya juang…bagi menghadapi godaan tawaran material yang tidak terduga yang kadangkala menggoyahkan prinsip perjuangan.

“Perlu kita ingat bahawa perjuangan Umno bukan seperti barang dagangan yang berunsurkan tawar-menawar dan tolak ansur tanpa bersebab.

“Tetapi perjuangan ini adalah amanah yang diwariskan kepada kita untuk dipertahankan selamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid berkata beliau meneliti setiap kritikan dan cadangan yang disuarakan ketika perhimpunan yang lalu dan baginya ia menunjukkan harapan agar parti itu kekal pragmatik dan relevan untuk rakyat Malaysia.

“(Perbahasan) kadang kala diselang-seli dengan istilah nakal bagi menarik perhatian perwakilan seperti pintu depan pintu belakang, perang proksi, politik hanyir…Tetapi setiap perbahasan dan teguran diolah dengan baik dan tertib seumpama ‘pukul anak sindir menantu’ serta terkawal,” katanya lagi.

Antara topik utama dalam perhimpunan minggu lalu adalah kerja sama dengan PAS melalui Muafakat Nasional dan isu kerajaan ‘pintu belakang’.

Kontroversi mengenai kerajaan “pintu belakang” tercetus apabila timbulnya khabar angin berkenaan komplot belakang tabir antara beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Kontroversi itu berlanjutan apabila pada 18 November lalu 18 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya.

Dalam ucapan dasarnya 6 Disember lalu, Zahid mengulang kembali pendirian menolak perubahan kerajaan melalui “pintu belakang” dan sebaliknya berkata ia akan dibuat melalui Muafakat Nasional.

Pada hari seterusnya, Zahid meminta kesemua 38 anggota parlimen Umno untuk berdiri dan berikrar bagi menunjukkan komitmen terhadap perkara itu.

Mengulas lanjut, Zahid berkata mesej perhimpunan tahun ini ialah kesinambungan daripada mesej tahun sebelumnya iaitu ‘bangkit’.

“Tahun ini kita membawa mesej mengisi kebangkitan tersebut, bermula dengan penghargaan Umno kepada presiden PAS, MCA dan MIC duduk di pentas utama.

“Ia membuktikan Umno sudah mengorak langkah ke arah transformasi politik,” katanya lagi.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker