Bukit Aman pertimbang ujian poligrafi siasat aduan bekas kakitangan Anwar

Ujian poligraf antara pilihan yang akan dipertimbangkan polis kerana pegawai penyiasat langsung tidak mempunyai butiran mengenai tuduhan serangan seksual yang dibuat Muhammed Yusoff Rawther terhadap Anwar Ibrahim, kata sumber yang biasa dengan kes-kes seperti itu kepada FMT.

Sumber itu juga memberitahu bahawa kaedah penyiasatan kali ini kelihatan berbeza daripada kes salah laku seksual melibatkan presiden PKR itu sebelum ini, termasuk kes Liwat 2 di mana beliau dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Di sini, polis berdepan dengan kes mencabul kehormatan, di mana penetrasi seksual tidak berlaku. Ini bermakna polis kena guna cara lain untuk mewujudkan kes.

Kes sebelum ini yang dikenali sebagai Liwat 2 berakhir dengan Anwar dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara, sebelum dibebaskan tahun lalu selepas mendapat pengampunan diraja.

Dalam semua kes yang dihadapinya, Anwar menafikan semua tuduhan dan mendakwa ia bermotifkan politik.

Berkata kepada FMT tanpa identitinya mahu dikenali, sumber itu berkata “cara lain” untuk menyiasat dakwaan terhadap pemimpin PKR itu termasuk mendedahkan keberadaan Anwar pada 2 Okt tahun lalu, iaitu hari didakwa serangan itu berlaku.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) minggu ini melakukan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang, berdasarkan laporan polis yang dibuat Yusoff pada 7 Dis.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, disoal siasat berjam-jam di Bukit Aman dengan ditemani peguam Haniff Khatri Abdulla. Dalam akuan berkanunnya sebelum ini, Yusof berkata telah menolak cubaan Anwar untuk mencabul kehormatannya dalam pertemuan di rumah presiden PKR itu pada 2 Okt tahun lalu.

Semalam, polis melawat rumah Anwar di Segambut, selepas beliau memberi keterangan di Bukit Aman.

“Pegawai polis dipercayai telah memeriksa beberapa kawasan di rumah yang dimaksudkan Yusoff ketika sesi soal siasat di ibu pejabat polis Bukit Amand,” kata sumber itu kepada FMT.

2 Okt 2018 hanya beberapa hari selepas Anwar dicalonkan untuk bertanding pilihan raya kecil Port Dickson, di mana beliau kemudiannya memenangi kerusi itu untuk membuat kemunculan semula Parlimen.

Walaupun Anwar mempunyai jadual kempen yang ketat dalam tempoh tersebut, laporan berita juga mengatakan bahawa pemimpin PKR itu berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri majlis memperingati ulang tahun kelahiran Mahatma Gandhi di Brickfields.

“Itu bahagian yang mudah. Bahagian yang lebih sukar adalah untuk mewujudkan spesifik, dan pada akhirnya, kebenaran,” kata sumber itu.

Sumber seterusnya berkata beliau tidak akan terkejut jika penyiasat mempertimbangkan dengan serius untuk menggunakan ujian poligraf, di mana keputusannya boleh diterima di mahkamah berdasarkan budi bicara hakim.

“Tetapi pada peringkat ini, ia membantu pegawai penyiasat menyiasat tuduhan yang dibuat,” katanya.

Ujian poligraf, yang telah digunakan oleh polis, angkatan tentera dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka, memberi petunjuk fisiologi melalui tekanan darah, nadi dan pernafasan ketika disoal.

“Tetapi seseorang itu mesti bersetuju untuk menjalani ujian tersebut,” kata sumber berkenaan, sambil menambah bahawa ujian poligraf tidak semestinya dapat mengesan dengan tepat kebohongan seseorang, seperti yang dipercayai kebanyakan orang.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker