Memanfaat tanah wakaf

Share

oleh Mohamad Mohaimin Mohamad Zaki

WAKAF dari segi bahasa bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta manfaatnya boleh disedekahkan.

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan takrif wakaf sebagai menahan harta mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak pemilikan atas harta itu dan dialihkan untuk kepentingan yang dibolehkan.


Oleh itu, setiap harta wakaf diertikan sebagai amalan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Berdasarkan statistik Yayasan Wakaf Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri mendapati, daripada 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara, hanya 13 peratus dimajukan. Selebihnya 87 peratus atau 26,100 hektar masih belum diusahakan sepenuhnya.

Menurut pakar wakaf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Dr Ismail Omar, kebanyakan tanah wakaf masih terbiar, belum digunakan sepenuhnya dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.


Beliau memberikan perumpamaan perlunya usaha memanfaatkan penjanaan tanah untuk kemajuan ekonomi ummah pada masa kini.

Jadi, untuk membuka nilai tanah wakaf yang beku dan terpenjara memerlukan pakar tanah wakaf untuk menyumbang kepakaran memaju tanah dengan sebaiknya.

Dengan kepesatan ekonomi dan nilai perkembangan hartanah pada masa kini, sewajarnya tanah wakaf perlu dimajukan secara efektif agar keuntungan tadbir urus harta wakaf dapat dinikmati kembali oleh masyarakat.


Mengambil contoh beberapa hartanah wakaf bernilai tinggi dan berjaya dimajukan antaranya Menara Imarah di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

Contoh lain adalah wakaf perumahan oleh Setee Aishah di Pulau Pinang yang diwakafkan pada 1902 kemudian dimajukan secara usahasama antara Bank Islam Berhad, Majlis Agama Pulau Pinang dan Uda Holdings pada 1988.

Penjanaan ekonomi umat Islam perlu dilihat secara serius seperti perkembangan wakaf selepas zaman kewafatan Rasulullah SAW yang ketika itu merujuk kepada pembinaan masjid dan telaga untuk kegunaan masyarakat.

Seterusnya, perkembangan penjanaan harta wakaf berlaku pada zaman sahabat RA apabila tanah wakaf diusahakan dan dapat menjana pendapatan bagi kesejahteraan ekonomi ummah.

Justeru, pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam Negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemimpin masyarakat harus berganding bahu dan berkongsi buah fikiran agar manfaat wakaf dapat disalurkan kembali kepada masyarakat.

Penulis penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Leave a Reply