Syafaat baca al-Quran

RUMAH yang tidak dihiasi amal ibadat wajib atau sunat termasuk membaca ayat al-Quran diibaratkan seperti kubur yang sunyi.

Tempat sunyi sudah tentu akan ‘dikuasai’ syaitan serta iblis.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadikan rumahmu itu seperti kubur (tidak pernah kamu sembahyang sunat ataupun membaca al-Quran dan ibadat lain di dalamnya). Sesungguhnya syaitan akan lari dan menjauhkan diri daripada mana-mana rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Secara umum, orang yang membaca al-Quran akan mendapat syafaat pada hari akhirat nanti.

Manakala disebut secara khusus, sesiapa yang membaca surah al-Mulk, apatah lagi menghafalnya, maka amalan itu akan menyelamatkan dirinya daripada seksaan kubur.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata: Barangsiapa membaca Tabarakallazi biyadil Mulk (yakni surah al-Mulk) setiap malam, Allah SWT akan mengangkat darinya seksa kubur.

“Pada zaman Rasulullah SAW kami memanggilnya dengan nama al-mani’ah (pemelihara). Surah ini di dalam kitab Allah, barangsiapa membacanya setiap malam sesungguhnya dia telah melakukan amal soleh.” (An-Nasai)

Menjadi rutin harian Rasulullah SAW, Baginda tidak akan tidur selagi tidak membaca surah al-Mulk pada setiap malam.

Tidak perlu mengambil masa lama kerana surah itu hanya mempunyai 30 ayat. Di dalam al-Quran tidak semua surah mempunyai kelebihan tertentu.

Surah al-Baqarah dan Ali Imran misalnya, pembacanya akan dinaungi pada hari kiamat kelak dengan sekelompok awan atau payung.

Perkara itu dinyatakan dalam satu hadis daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bagi diri kita yang tidak mampu menghafal keseluruhan al-Quran, setidak-tidaknya kita berusaha menghafal beberapa surah termasuk surah al-Mulk ini untuk diamalkan.

Sekurang-kurangnya ketika ‘pulang’ bertemu Allah SWT nanti, kita ada membawa bekalan yang akan menjadi saksi dan bukti kita beramal dengan mukjizat agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu.

Perihal di alam barzakh bukan satu perkara ringan. Maka, beramal dengan surah al-Mulk
itu sangat penting bagi menghindarkan diri kita semua daripada fitnah kubur.

Jika kita beriman dengan alam barzakh dan mengetahui pula amalan yang bakal dibawa hanya sedikit, maka paksalah diri kita untuk membacanya setiap malam sebelum tidur seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Jangan biarkan satu hari yang berlalu kita menyatakan ketakutan kepada kematian dalam keadaan diri tidak bersedia dan membawa dosa yang banyak.

Tetapi kita masih lagi mengabaikan amalan yang sudah kita tahu manfaat dan kelebihannya. Itulah janji Nabi SAW kepada sesiapa yang mengamalkan surah al-Mulk, pasti mereka akan terlepas daripada seksaan kubur.

Selain itu, bagi memastikan kubur kita kelak cerah di sisi Allah SWT, paksa sedaya upaya diri kita untuk bangun bertahajud paling tidak melaksanakan dua rakaat sebelum azan Subuh.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker