Jangan uji saya, Anwar beri amaran

Share


Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi amaran mana-mana pihak tidak menguji kesabarannya sehingga memberi gambaran partinya berpecah dan lemah.

Anwar berkata selagi bergelar presiden, beliau bertanggungjawab untuk membina kekuatan PKR dan menghormati suara akar umbi.

“(Ada kata) Anwar ini lemah sangat, sabar sangat, kata Shamsul Iskandar (ketua penerangan PKR) sabar tahap dewa.

“Jangan uji saya… Saya sabar sebab saya fikir orang ada hak bagi pandangan. Tetapi kalau kesabaran itu sampai memberi gambaran parti pecah dan lemah, saya tidak boleh,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PKR Perak malam tadi.

Turut hadir dalam konvensyen itu ialah Shamsul, Naib Presidennya Xavier Jayakumar.

Sebelum ini, Kongres Pemuda PKR mencetus kontroversi apabila perasmi asal yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dibatalkan pada saat akhir dan digantikan dengan penasihat parti, Wan Azizah Wan Ismail.

Keadaan semakin panas apabila kedua-dua kem presiden dan timbalannya berbalas kenyataan malah dipercayai pada hujung minggu ini akan berlangsung pertemuan sebahagian ahli PKR di Kuala Lumpur meskipun kongres nasional parti dijadualkan di Melaka.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau adalah presiden untuk semua ahli parti.

“Walaupun kena terajang pun maafkan, masuk penjara dan keluar maafkan, tapi cukup sekarang ini.

“7 Nov ini kita akan lihat parti bersatu jauh lebih kuat,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *