Hakmilik Tanah 999 tahun : Jangan cabul Perlembagaan Persekutuan

SIARAN AKHBAR OLEH YB DATO SAARANI MOHAMAD
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak

UMNO Perak mengingatkan Kerajaan Negeri supaya tidak mencabul Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan hak milik 999 tahun untuk tanah di kampung-kampung baru.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap Ketua Pembangkang Dewan Negeri YB Dato’ Saarani Mohamad berkata langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke 73.



Beliau mengingatkan YAB Menteri Besar Perak Dato Seri Ahmad Faizal Azumu mesyuarat tersebut telah memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru tidak boleh melebihi 99 tahun.

Ketetapan ini, katanya,adalah di bawah Seksyen 76(aa) (iii) Kanun Tanah Negara 1965.

“Menteri Besar hendaklah bertindak mengikut lunas serta semangat Perlembagaan serta mematuhi ketetapan Kanun Tanah Negara bagi memastikan kestabilan negeri ini,” katanya lagi.

Katanya, jangan hanya kerana “permainan serta kepentingan politik” Kerajaan Negeri sanggup mencabul perlembagaan dan melanggar prinsip perundangan.



Beliau juga menyifatkan DAP bermain sentimen kaum dan menekan Menteri Besar dengan terus-menerus memainkan isu hak milik 999 untuk Kampung Baru.

“Banyak lagi janji manifesto Pakatan Harapan yang mempunyai keutamaan yang belum dipenuhi, termasuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak serta memberikan pendidikan percuma.

“Mengapa hanya janji hak milik tanah 999 yang terus menerus dibangkitkan,” katanya lagi.

Apatah lagi, katanya, Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad berkali-kali menyatakan “manifesto bukan kitab suci”.



Beliau mengulas tentang desakan DAP supaya kerajaan Negeri memberikan hak milik tanah 999 tahun. Perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam ucapan dasarnya pada Konvensyen DAP Perak.

Dato Saarani berkata langkah Nga Kor Ming menayangkan klip video yang menunjukkan Ahmad Faizal berucap membacakan tawaran PH sebelum PRU14 dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak, jelas menunjukkan DAP sedang menekan Menteri Besar Perak.

Beliau juga menyatakan perkara ini jelas menunjukkan DAP sebuah parti chauvinis perkauman yang hanya mementingkan satu kaum sahaja dan menidakkan hak kaum-kaum lain.

DUN boleh tolak orang pilihan sultan – Mahathir



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker