Laksana al-Targhib, al-Tarhib dalam berdakwah

oleh Mohd Ajib Ismail

BERDAKWAH adalah tugas dan tuntutan mulia dalam masyarakat sehinggakan ia digandingkan dengan gelaran umat terbaik.

Sepertimana firman Allah SAW di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Matlamat dakwah ialah membawa masyarakat ke arah perubahan sosial secara menyeluruh dalam aspek berfikir mahupun cara hidup.

Dalam melaksanakan dakwah, komunikasi digunakan bagi tujuan menyampaikan, memberi kefahaman serta meyakinkan masyarakat dengan mesej Islam.

Ia mestilah melalui pendekatan berhikmah, peringatan yang baik dan berdialog dengan cara paling baik jika berlaku pertentangan pandangan. Perkara itu dinyatakan dalam Surah al-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Dakwah boleh dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan, pencegahan dan hukuman.

Dalam konteks Wilayah Persekutuan misalnya, pelaksanaan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah berdasarkan dua prinsip asas yang dinyatakan iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran (al-amru bil ma’ruf wa al nahyi a’nil munkar).

Kedua-dua prinsip itu menjadi asas penting bagi mewujudkan masyarakat yang selamat dan bebas daripada segala perbuatan maksiat serta mengundang dosa.

Islam memberi penekanan agar mendidik ummah mencapai taraf masyarakat yang berilmu dalam menjaga setiap langkah dengan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Dengan demikian, kehidupan masyarakat dapat menuju menjadi sebuah negara yang dirahmati Allah serta menepati prinsip Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT iaitu berpandukan syariah.

Dakwah juga harus mempertimbangkan elemen al-Targhib dan al-Tarhib dalam pelaksanaan.

Al-Targhib adalah satu bentuk galakan dan motivasi kepada umat manusia agar sentiasa mempertingkatkan ketakwaan dan ibadat kepada Allah SWT.

Al-Targhib juga boleh dimaksudkan sebagai janji baik dan ganjaran pahala kepada orang-orang soleh. Manakala al-Tarhib pula adalah peringatan dan ancaman kepada manusia supaya menghindari sebarang kejahatan dan kemaksiatan sama ada zahir dan batin.

Konsep al-Targhib dan al-Tarhib adalah konsep dakwah yang memberikan rangsangan agar mendorong ke arah ketaatan kepada Allah dan ancaman supaya menghindarkan diri daripada berbuat kejahatan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker