Muafakat Nasional: Struktur empat negeri akan diubah untuk dijadikan contoh

Share


TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur di empat negeri yang dikuasi oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Tujuannya, supaya rakyat mempunyai gambaran bentuk negeri dan negara yang bakal dibentuk jika mereka menang pada PRU15.

Selain itu ia untuk memastikan Muafakat Nasional itu dapat dilihat sebagai kerajaan alternatif dan rakyat tahu apa bentuknya.

“Muafakat Nasional ini mestilah berkelakuan sebab kita ini adalah ‘alternative government’ supaya orang melihat kita ‘eh… inilah rupanya…’

“Itu sebabnya saya telah putuskan bahawa perlu ada satu pelan tindakan di bawah empat negeri yang di bawah UMNO dan Pas.

“Kita lihat ke atas Muafakat Nasional tapi dekat bawah tidak ada lagi… di peringkat negeri. Jadi terlebih dahulu empat negeri ini kita ubah suai strukturnya supaya inilah negeri Muafakat Nasional kalau kita menang nanti… inilah dia contohnya yang hendak kita buat,” kata beliau seperti yang dipetik daripada temu bual eksklusif dengan UMNO Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Selain itu katanya, Muafakat Nasional bukan sekadar ceramah sahaja dan tidak boleh mengharapkan kepada kelemahan PH semata-mata.

Yang penting katanya, parti perlu diperkasakan selain mengelakkan perpecahan dan menyusun strategi untuk mengadapi pilihan raya.

“Kita perlu mengelakkan pertembungan-pertembungan sesama parti Melayu. Parti Melayu terbesar di Malaysia adalah UMNO dan Pas jadi dengan penyatuan ummah kita tutup satu lubang, satu isu besar telah pun kita tutup.

“Tapi penyatuan ummah sahaja tidak cukup di situ kerana jika kita bercita-cita hendak menguasai semula Putrajaya, kita tidak boleh berhenti di penyatuan ummah sahaja kerana kita mesti faham negara kita ini adalah majmuk.

“Sokongan daripada kaum lain itu penting untuk kita bersama-sama. Kalau tidak ada penyertaan daripada Sabah dan Sarawak hasrat nak jadikan Putrajaya kepunyaan kita susah. Jadi, kita kena bawa Sabah dan Sarawak juga dan secara jujurnya saya katakan penyatuan ummah tidak relevan kepada mereka.

“Tetapi Muafakat Nasinoal itu lebih relevan di Sabah dan Sarawak dan juga di Semenanjung Tanah Melayu kerana mengambil kira rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama.

“Fasa satu sudah ok maka kita tutup dan masuk fasa kedua. Fasa kedua adalah Muafakat Nasional dan daripada sini pula apa yang perlu kita buat.

“Apakah kita perlu menginstitusikan Muafakat Nasional ini atau Muafakat Nasional ini satu persefahaman yang longgar? Persoalan demi persoalan ini telah pun saya urus dalam jawatankuasa rundingan baru-baru ini untuk jawatankuasa teknikal UMNO PAS memikirkan dan membawa suatu kajian yang lengkap supaya mengambil kira semua aspek untuk kita lihat apa ‘next step’ kita,” ujar beliau.

SuaraMerdeka



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *