Banjir: MB Kelantan seru rakyat solat hajat

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru rakyat di negeri ini menunaikan solat sunat hajat.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan untuk sama-sama melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar pada tahun ini. Semoga kita semua dapat menghadapi ujian di musim tengkujuh ini dengan penuh kesabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini berikutan laporan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi hari ini pada pukul 10.45 pagi tadi.

Jelasnya, laporan itu menunjukkan hampir seluruh di negeri Kelantan akan mengalami tahap hujan diperingkat bahaya (merah) sehingga esok.

Menurutnya lagi, melihat keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini serta aliran peningkatan air di sungai-sungai utama, keadaan begitu bahaya.

Untuk itu katanya, mereka yang tinggal di kawasan berisiko perlu lebih berhati-hati.

“Saya berpesan kepada seluruh rakyat Kelantan agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

“Saling mengambil berat antara satu sama lain amat dititikberatkan untuk menghadapi ujian ini bersama-sama,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau berharap seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, sekiranya arahan berpindah telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa, semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah.

Menurutnya, waktu yang paling sesuai untuk berpindah sebelum Maghrib bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

SuaraMerdeka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker