Krisis PKR : Tubuh parti baru jika mahu terus langgar saluran rasmi.

Share

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman menegaskan bahawa hanya ada satu majlis Perasmian Kongres AMK dan ia akan dirasmikan oleh Penasihat PKR Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Syed Badli mencabar pihak yang menurutnya secara berterusan sengaja mengelirukan akar umbi berhubung kongres berkenaan, untuk keluar parti.

“Sekiranya pihak berkenaan berniat untuk berterusan melanggar saluran rasmi parti, saya mencadangkan agar mereka keluar dari parti dan menubuhkan parti baru.


“Tiada istilah perasmian pembukaan dan perasmian penutup bagi Kongres Nasional AMK 2019 yang bakal berlangsung pada 6 Disember 2019 di MiTC Melaka.

“Yang ada hanyalah satu majlis perasmian sahaja iaitu Perasmian Kongres AMK yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Syed Badli berkata, majlis yang tidak diputuskan dalam mesyuarat rasmi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dianggap bukan majlis rasmi AMK.


“Seperti mana yang diumumkan oleh Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, (Timbalan Presiden PKR) Mohamed Azmin Ali akan merasmikan Kongres Wanita manakala Wan Azizah akan merasmikan Kongres AMK.

“Justeru itu jika terdapat sebarang majlis selain dari yang diputuskan oleh mesyuarat rasmi Majlis Pimpinan Pusat adalah dianggap sebagai bukan majlis rasmi AMK,” katanya.

PKR kini dilihat menyaksikan pergeseran dalaman antara kem Presiden PKR Anwar Ibrahim dan kem Azmin.


Isu berhubung perasmian kongres AMK timbul selepas Azmin digugurkan sebagai perasmi majlis berkenaan, meskipun secara tradisinya ia dirasmikan oleh timbalan presiden.

Syed Badli sebelum ini berkata, nama Azmin dibatalkan sebagai perasmi kerana tidak menjawab surat jemputan majlis berkenaan.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Timbalan Ketua AMK Muhammad Hilman Idham, sementara Ketua Wanita PKR Haniza Talha menjemput AMK untuk menyertai kongres bersama Wanita PKR pada hari sama.

Mkini

Leave a Reply