Annuar: Muafakat Nasional sedia hadapi ‘kejutan’ politik

Setiausaha Agung Umno,

Tan Sri Annuar Musa

memberi gambaran bahawa suasana politik negara akan mempunyai banyak “kejutan” dalam masa terdekat ini.

Tanpa memperincikan “kejutan” yang dimaksudkannya, Annuar berkata Umno serta rakan Muafakat Nasional berada dalam keadaan bersedia menghadapinya.

“Kita tunggu dan lihat, dalam masa beberapa bulan ini suasana politik negara mempunyai banyak kejutan. 1001 kemungkinan ada. Kita Muafakat Nasional terutama Umno dan PAS ada pendekatan sendiri.

“Yang boleh saya sebut, politik negara harus bersedia untuk menerima kejutan-kejutan ini. Saya tak boleh ulas secara detail (terperinci),” katanya kepada media selepas majlis perasmian Konvensyen Umno Kelantan oleh presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di di Tok Bali, Bachok, hari ini.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata demikian ketika ditanya mengenai 13 anggota dewan undangan negeri (Adun) Melaka yang menyatakan kesediaan untuk undi tidak percaya bagi menukar kepimpinan kerajaan negeri itu.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, selagi sesuatu pendekatan mendapat sokongan rakyat, ia tidak boleh diistilahkan sebagai pintu belakang.

“Kita tidak ada istilah pintu belakang, yang penting sesuatu itu mesti disokong oleh rakyat, bagi kita semua pintu depan. Apabila rakyat bersama kita itu adalah pintu depan. Kalau (istilah) pintu belakang (buat secara) sembunyi, curi-curi, tipu (itu) bercanggah dengan apa yang rakyat mahu.

“Muafakat Nasional akan terjemah berdasarkan apa yang rakyat mahu, kita akan buat sesuatu berasaskan dukungan kuat daripada rakyat,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai fokus utama dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan berlangsung minggu depan, Annuar berkata, ia akan memberi fokus untuk menghidupkan semangat Muafakat Nasional sebagai lanjutan kepada piagam yang ditandatangani dengan PAS sebelum ini.

“Sebahagian ucapan presiden akan fokus kepada hala tuju Muafakat Nasional.

“Selain itu, PAU kali ini dikembalikan dengan tradisi sama sebelum kita tewas. Sebab tradisi tahun lalu dipendekkan dan banyak acara tidak diteruskan kerana baru lepas pilihan raya umum ke-14.

“Tapi dalam masa singkat, Umno pulih dari segi semangat dan struktur organisasinya dan bukan saja pulih, tetapi kita bangkit dengan semangat baru. PAU kali ini akan jelmakan semangat tersebut,” jelasnya.

Mkini

PRN Sabah: Kejutan besar 48 jam sebelum penamaan calon

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker