Zakir Naik ancam saman ahli Parlimen Dap kerana kaitkan dengan tangkapan LTTE

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Charles Santiago kerana memfitnah, mendakwa ahli Parlimen itu mengaitkannya dengan penangkapan 2 ahli DAP atas dakwaan terlibat dengan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kenyataan yang dipersoalkan itu dikatakan dibuat semalam, dengan Santiago dilapor mempersoalkan masa tangkapan yang berlaku pada malam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Peguam Naik dalam notis tuntutan mereka mendakwa kenyataan Santiago menggambarkan penceramah itu ada “urusan-urusan yang melalui pintu belakang” dengan pihak berkuasa, memanipulasikan mereka untuk mengalih perhatian daripadanya selepas beliau mencetuskan kontroversi beberapa bulan lepas.

Peguam Naik juga berkata kenyataan yang didakwa itu menggambarkan Naik sebagai “dalang” penangkapan dan beliau digunakan pihak tertentu untuk manfaat politik.

“Kami diarah untuk menyatakan kenyataan fitnah tersebut jelas digerakkan oleh niat jahat, kebencian dan/atau untuk menyakitkan hati.

“Kami juga diarah untuk menyatakan kenyataan fitnah itu tidak berasas, direka, tidak benar dan khalayan,” kata surat tuntutannya.

Naik menggesa Santiago menarik balik kenyataannya dan artikel itu diturunkan, dan menuntut satu permohonan maaf terbuka daripada ahli Parlimen itu disiarkan dalam tempoh 48 jam selepas menerima surat itu.

Santiago ketika dihubungi FMT berkata beliau sedang berbincang dengan peguamnya bagi menentukan tindakan seterusnya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker