Bendera apa Fahmi Reza kongsi?

Share


Gambar bendera yang dikongsi pereka grafik kontroversi Fahmi Reza di Facebooknya mengundang pertanyaan. Bendera yang dikongsi beliau sejak malam tadi itu mempunyai persamaan dengan corak bendera kebangsaan Malaysia, Jalur Gemilang dalam versi diterbalikkan.

Bendera yang dikongsi Fahmi mempunyai kombinasi empat warna seperti Jalur Gemilang iaitu putih, merah, kuning dan biru. Berjalur putih dan merah. Bendera itu juga mempunyai bulan sabit dan bintang dengan warna yang sama seperti Jalur Gemilang.

Cuma gambar bendera yang dikongsi Fahmi itu mempunyai enam jalur merah dan enam jalur putih berbanding bendera kebanggaan rakyat Malaysia yang mempunyai tujuh jalur merah dan tujuh jalur putih.

Pada bendera yang dikongsi Fahmi terdapat juga gambar bintang namun berbucu lima berbanding Jalur Gemilang yang mempunyai 14 bucu. Corak bulan sabit dan bintang pada bendera yang dikongsi Fahmi terletak di sebelah kiri bahagian bawah.

Fahmi bagaimanapun tidak menulis sebarang kapsyen atau keterangan berhubung gambar bendera yang dikongsi beliau itu.

Isu penghinaan Jalur Gemilang ketika ini hangat diperkatakan apabila Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) terpaksa memohon maaf berikutan video yang dimainkan memaparkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 baru-baru ini.

Fahmi sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi termasuk melukis gambar badut menyerupai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga diseret ke mahkamah.

Beliau gagal dalam percubaan terakhir untuk mengetepikan sabitan atas tuduhan memuat naik imej karikatur menghina Najib ke media sosial pada 2016.

Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 5 Julai lalu susulan keputusan sebulat suara panel 3 hakim yang dipengerusikan Kamardin Hashim dan 2 hakim lagi, Kamaludin Md Said dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mengikut pertuduhan, Fahmi, didakwa menggunakan Facebook “Fahmi Reza” di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu untuk menyakitkan hati orang lain pada 8 Februari 2016.

Fahmi itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 12 November 2018 yang mengetepikan hukuman penjara sebulan ke atas Fahmi dan mengurangkan denda daripada RM30,000 kepada RM10,000 selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman itu.

Fahmi turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengekalkan sabitannya atas tuduhan itu.

Pihak pendakwaan kemudian menarik balik rayuan supaya Fahmi dikenakan hukuman lebih berat, namun rayuan berhubung sabitan ke atasnya diteruskan.-SuaraMerdeka



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *