Pembangkang kritik tindakan bawa balik abu mayat Chin Peng

Wakil rakyat pembangkang hari ini mempersoalkan tindakan pihak yang membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata, tindakan itu mengguris hati veteran tentera serta polis yang berjuang dan terkorban melawan komunis sebelum ini.

“Kita minta kerajaan dan menteri membuat kenyataan yang tegas dalam isu ini,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Pertahanan.

Shahidan mempersoalkan pendirian wakil rakyat berhubung isu Chin Peng yang dilihat berubah fikiran apabila berada di blok kerajaan.

“Dulu masa di sebelah ini (pembangkang) mereka bising, pergi sana (kerajaan) jadi lain, teruk pengaruh di sebelah sana, macam Bagan Serai tak berani jawab, dulu dengan kita berdegar-degar dia jawab,” katanya.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencelah dan mempersoalkan adakah Shahidan tidak bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa iaitu membawa pulang abu mayat Chin Peng bukan kesalahan.

Shahidan membidas Khoo kerana mengganggu perbahasannya.

“Curi masa orang, pencuri,” kata Shahidan.

Berang dengan gelaran itu, Khoo kemudian memanggil Shahidan dengan gelaran perompak.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menyuruh kedua-dua wakil rakyat itu duduk sebelum meminta Shahidan meneruskan perbahasan.

Pendirian Shahidan itu disokong wakil pembangkang lain yang menganggap tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng satu penghinaan.

Ahmad Amzad Hashim (PAS-Kuala Terengganu) berkata perkara itu hanya didedahkan kepada awam selepas lebih 2 bulan, manakala Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berkata ramai pejuang di Sabah dan Sarawak turut terkorban menentang komunis.

“Kerajaan dahulu tidak benarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik…kita kena selidik sebab tidak dibenarkan bawa pulang,” katanya.

Sementara itu, M Karupaiya (PH-Padang Serai) berkata isu Chin Peng merupakan peninggalan sejarah dan tidak memberi apa-apa kesan jika abu mayatnya dibawa pulang.

“Benda itu sudah habis, kalau bawa tak ke mana kepada kita, kita sebagai rakyat hormati walaupun dia musuh, sebab dia lahir di negara kita,” katan bekas tentera itu.

Kenyataannya bagaimanapun mengundang kritikan pembangkang.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas 6 tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia 2 bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng.

FMT

Abu Chin Peng pulang ke Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker